13 Disember 2021

Liberalisme dan pluralisme antara ciri ajaran sesat

 

Ahmad Marzuk Shaary

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Berpegang kepada pemikiran liberalisme dan pluralisme agama adalah antara ciri yang sering ditemui apabila kumpulan ajaran sesat dibongkarkan di negara ini.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ((Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, berkata ciri lain ialah berpegang kepada akidah selain Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan ajaran kerohanian atau tasawuf falsafah yang bercampur aduk dengan ajaran kebatinan.

Katanya, pengamal ajaran sesat juga mempercayai dan mengamalkan perkara khurafat dan tahyul, menjadikan ilham, mimpi atau kashaf sebagai sumber pegangan dan kepercayaan.

“Begitu juga dengan taksub melampau kepada guru atau ketua ajaran, menyeleweng tafsiran al-Quran dan hadis untuk kepentingan peribadi atau kumpulan serta menolak disiplin ilmu dan autoriti pihak berkuasa agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar), katanya Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) secara berterusan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kes kesalahan jenayah syariah yang dilaporkan melibatkan ajaran sesat, perjudian dan mabuk.

Sepanjang tahun 2020, katanya sebanyak 33 kes dilaporkan melibatkan kes berkaitan ajaran salah, pemujaan salah, doktrin dan dakwaan palsu.

Katanya, sebanyak 334 kes pula melibatkan perjudian atau berada di tempat perjudian dan 86 kes melibatkan minuman memabukkan.

“Selain penguatkuasaan, kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAIN diperkukuh bagi memastikan kesucian agama Islam terpelihara melalui pelaksanaan pelbagai program seperti program peningkatan penghayatan agama dan pencegahan jenayah syariah berbentuk webinar, forum dan kempen kesedaran jenayah syariah,” katanya.

Menjawab satu lagi soalan tambahan Kuala Krai, katanya definisi ASWJ berdasarkan mesyuarat panel pakar akidah JAKIM Ke-42 pada 28 Februari 2010 ialah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW menerusi sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in yang setia bersama mereka dalam prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Beliau berkata, ASWJ adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW mengikut manhaj dan kaedah salaf dan khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah).

“Mereka juga adalah golongan berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar. Ini mengeluarkan Khawarij, Syi’ah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mu’tazilah, antihadis, Islam liberal, pluralisme agama dan seumpamanya.

“ASWJ juga ialah golongan yang mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, perdamaian bukan peperangan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, tidak taksub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/21

Tiada ulasan: