13 Disember 2021

Polis Pahang sudah kenal pasti pelajar terbabit kes buli

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

KUANTAN: Polis menerima laporan kes buli membabitkan tiga sekolah di negeri ini dalam tempoh empat hari bermula 6 Disember lalu termasuk membabitkan sebuah sekolah berasrama di Muadzam Shah di Rompin.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pada masa ini siasatan giat dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Semua pelajar yang terbabit sudah dikenal pasti dengan bantuan pihak sekolah terbabit dan tindakan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Berdasarkan soal siasat mendapati mangsa menyembunyikan kejadian dan hanya membuat laporan polis setelah balik bercuti dan apabila disedari oleh keluarga mereka," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak tersebar, satu lagi kes dilaporkan berlaku di sebuah sekolah berasrama di Pahang yang mengakibatkan empat pelajar cedera dan trauma selepas dijadikan 'karung tinju' oleh sekumpulan senior.

Kejadian itu didakwa pada Jumaat minggu lalu apabila semua mangsa berusia 14 tahun itu dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dikenakan hukuman rotan oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Empat dan Lima.

Mohd Yusri berkata, tiga laporan kes buli itu diterima membabitkan pelajar di asrama sekolah di Muadzam Shah, Rompin; Maran dan juga sebuah sekolah berasrama di Lipis.

Katanya, laporan pertama diterima pada 6 Disember lalu daripada seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Muadzam Shah yang mendakwa dipukul senior kerana menyalahguna telefon bimbit hingga mengalami bengkak dan lebam di bahagian badan.

Katanya, laporan kedua diterima pada 10 Disember daripada seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Maran mendakwa dipukul oleh beberapa pelajar senior kerana dikatakan memotong barisan di dewan makan asrama sehingga mengalami lebam pada bahagian perut.

"Pada Jumaat lalu (10 Disember) juga polis turut menerima laporan daripada seorang pelajar Tingkatan Dua di asrama sebuah sekolah di Kuala Lipis dipukul dengan tangan oleh beberapa orang pelajar senior berpunca kerana dituduh menghisap vape di asrama dan mangsa mengalami kesan lebam dan bengkak di bahagian muka," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan pihak keluarga pelajar yang terlbabit diminta memberikan kerjasama kepada pihak sekolah serta pihak polis.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak pentadbiran sekolah terutamanya sekolah berasrama bagi membantu pihak pentadbiran sekolah membendung gejala buli dan pergaduhan ini dari terus menjadi budaya yang tidak sihat.

"Semua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) PDRM di Pahang juga sudah diarah untuk memberikan perhatian berkenaan isu ini," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: