13 Disember 2021

Buli: Selamatkan institusi pendidikan negara

 

IPOH: Perbuatan buli bukan sahaja menunjukkan hilangnya sifat kemanusiaan, bahkan satu penganiayaan yang menjurus kepada jenayah di mana ianya juga di sisi agama bermakna merendahkan martabat insan

Malah, kesan perbuatan buli bukan sahaja boleh memberi kesan kepada fizikal, tetapi selalunya mencederakan mental seseorang, demikian ulas Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Hasna’ Ab Samad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu buli yang tular di media sosial dan berlaku dalam kalangan pelajar sekolah yang difahamkan berlaku di sebuah sekolah di Perak, baru-baru ini. 

Jelasnya, Islam merupakan agama yang benar-benar menjaga dan memelihara umat Islam di mana setiap perlakuan baik atau jahat adalah berbalik ke atas diri sendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Isra’, ayat ke-7. 

“Islam melarang adanya sikap buli-membuli sesama insan. Allah SWT begitu memuliakan dan mengangkat martabat manusia, (namun) kita pula telah melakukan jenayah (buli),” tegas beliau. 

Dalam pada itu, Ustazah Hasna’ turut menyeru agar ibu bapa sentiasa memainkan peranan dalam mengikuti perkembangan dan pembesaran anak-anak tanpa membiarkan mereka kehausan kasih sayang dan perhatian. 

“Sekarang zaman dunia di hujung jari. Ibu bapa perlu pantau dengan siapa anak berkawan dan apa yang mereka tonton. Ketahuilah, bahaya penggunaan media sosial yang melampau tanpa pengawasan rapi oleh ibu bapa. 

“Sekiranya anak di asrama, sentiasalah jenguk mereka. Berikan mereka perangsang dan kata-kata semangat untuk menimba ilmu, sekali gus menjadi pelajar (yang) berakhlak mulia seperti yang dituntut (oleh) Islam,” serunya.

Tambahnya selain peranan ibu bapa, pihak sekolah khususnya dan pihak berwajib amnya hendaklah sentiasa berusaha membanteras gejala buli ini agar institusi pendidikan di negara kita dapat terjamin kesejahteraannya. 

Oleh itu, satu tindakan yang sangat tegas harus diambil oleh pihak wajib kepada pelajar terlibat dengan kegiatan buli agar gejala buli ini berjaya dikekang secara keseluruhannya. 

Pun begitu, persaingan yang sihat seperti berlumba-lumba mencapai kejayaan di dalam peperiksaan dan mencipta rekod terbaik di sekolah juga hendaklah ditanamkan sejak awal bangku persekolahan lagi demi membentuk sahsiah murid cemerlang. – HARAKAHDAILY 13/12/2021


Tiada ulasan: