15 Disember 2021

Doktor lakukan 37,000 pembedahan rawat sumbing secara percuma

 

DR. Subodh Kumar Singh bersama seorang kanak-kanak yang menjalani pembedahan membetulkan sumbing bibir dan lelangit. - FACEBOOK

NEW DELHI: Seorang pakar bedah plastik di India dipuji dan digelar sebagai hero selepas menghabiskan sebahagian besar hidupnya melakukan lebih 37,000 pembedahan membetulkan sumbing bibir dan lelangit kanak-kanak secara percuma.

Dr. Subodh Kumar Singh dari Uttar Pradesh berkata, pelbagai cabaran yang diharunginya semasa kecil sehingga memberi inspirasi kepada dirinya untuk mendedikasi kerjayanya bagi membantu golongan memerlukan.

“Dengan menjadi doktor, saya boleh membantu ramai orang dan mahu memberikan kehidupan yang baik kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya kepada The Better India.

Pakar bedah plastik itu mula menganjurkan kem rawatan percuma selepas menyedari ramai bayi dan kanak-kanak mengalami sumbing bibir dan lelangit memerlukan bantuan pembedahan.

Usaha murni itu kemudian disedari oleh Smile Train, sebuah inisiatif global yang memfokuskan pembedahan sumbing, dan dengan sokongan mereka serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, Subodh tampil membantu lebih ramai orang.

“Bayi yang dilahirkan dalam keadaan demikian tidak boleh minum susu seperti bayi lain. Ramai yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan sering mengalami pertumbuhan terbantut.

“Kanak-kanak berasa sukar menggunakan lidah mereka untuk bercakap sehingga menyebabkan masalah pertuturan, ini juga mengakibatkan golongan itu tercicir dari sekolah atau dibuli,” katanya.

Sejak tahun 2004, Subodh telah melakukan lebih 37,000 pembedahan rawatan sumbing terhadap golongan kanak-kanak dan dewasa.

Subodh juga melatih puluhan doktor lain di seluruh India untuk merawat masalah kecacatan kelahiran tersebut.

UTUSAN.

Tiada ulasan: