Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara di seluruh dunia mengambil tindakan segera selepas Omicron mula merebak pantas di kebanyakan negara yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, varian itu kini dilaporkan menular di 77 negara dan kemungkinan sudah merebak ke kebanyakan negara tanpa dikesan pada kadar yang tidak pernah dilihat mana-mana varian sebelum ini.
WHO semalam memberi amaran supaya berwaspada apabila Afrika mencatatkan peningkatan kes sepanjang minggu lalu, tetapi jumlah kematian yang lebih rendah berbanding gelombang sebelumnya.
Badan dunia itu menggesa semua negara bertindak pantas mengekang penularan dan melindungi sistem kesihatan mereka serta tidak hanya bersikap sambil lewa.
Pakar WHO Bruce Aylward dengan tegas memberi amaran supaya jangan membuat kesimpulan varian ini adalah penyakit ringan.
"Kita mungkin (perlu) bersedia untuk situasi yang sangat berbahaya," katanya.
Amaran itu itu diberikan ketika Pfizer mendakwa ujian klinikal pil anti-Covid-19nya berkesan hampir 90 peratus mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan individu berisiko.
Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata, pil keluaran mereka itu akan menjadi penentu serta menjangkakan kebenaran menggunakan kaedah rawatan memerangi Covid-19 itu akan diberikan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) seawal bulan ini.
HMETRO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan