15 Disember 2021

Jangkitan Omicron UK meningkat 200,000 kes sehari

 Perdana Menteri Britain, Boris Johnson melawat pusat vaksinasi Stowe di tengah London. - Foto AFP

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson melawat pusat vaksinasi Stowe di tengah London. - Foto AFP

LONDON: Britain merancang membuka ratusan lagi pusat pemberian vaksin untuk beberapa hari akan datang termasuk di stadium bola sepak dan padang lumba sebagai usaha memberikan suntikan penggalak secara besar-besaran berikutan lonjakan kes jangkitan Omicron.

Langkah itu dibuat selepas Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid memberitahu Parlimen bahawa jenis jangkitan baharu itu kini menyumbang 20 peratus daripada kes COVID-19 yang disahkan di negara itu.

Agensi Keselamatan kesihatan United Kingdom (UK) menganggarkan jumlah jangkitan harian kini 200,000 kes sehari.

Semalam, Javid berkata penggandaan kes Omicron kini berlaku setiap dua hari.

"Perkembangan jangkitan kes Omicron di UK kini kesan peningkatan kes yang tinggi di Afrika Selatan dan pemerhatian kami mendapati kes melonjak sekitar setiap dua hari," katanya kepada Parlimen sebelum undian sekatan baharu COVID-19 dilaksanakan.

Dengan dua dos vaksin yang dianggap memberikan perlindungan yang tidak mencukupi terhadap Omicron, kerajaan negara itu mengumumkan program pemberian dos penggalak dipercepatkan bagi membantu Britain melalui krisis pandemik terkini.

Perdana Menteri, Boris Johnson mengarahkan Perkhidmatan Kesihatan Negara meningkatkan jumlah pemberian vaksin mengatasi rekod harian yang dicatatkan Mac lalu dengan 844,000 dos sehari - supaya semua orang dewasa mendapat suntikan penggalak menjelang Tahun Baru.

"Untuk mencapai sesuatu dalam skala ini, kami memerlukan bantuan anda.

"Maka hari ini, saya mengajak sukarelawan menyertai misi kebangsaan kita untuk meningkatkan jumlah vaksin," katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Saintis memberi amaran supaya pemakaian pelitup muka dalam ruang awam premis tertutup diteruskan dan ujian saringan kemasukan ke tempat awam dilaksanakan, walaupun ia masih tidak mengurangkan kes kemaskan ke hospital, sekalipun dengan adanya dos penggalak.

Kelmarin, Johnson berulang kali menolak untuk mengenakan peraturan baru berkaitan jangkitan bagi membendung Omicron sebelum Krismas.

"Kami mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk melindungi kesihatan awam," katanya ketika mengesahkan kes kematian pertama yang dikaitkan dengan varian itu di Britain.

Di Parlimen, Johnson terus menerima kecaman daripada ahli parti pemerintah, Parti Konservatif yang mengancam untuk tidak menyokong langkah sekatan yang diumumkan kerajaan, minggu lalu.

Menurut majalah Spectator, 78 ahli Parlimen parti kerajaan menentang langkah sekatan yang bakal dilaksanakan kerajaan.

Ahli Parlimen, Steve Baker, berkata mereka akan mengundi menentang kerajaan mengenai sekatan itu termasuk penggunaan pasport vaksin.

Johnson memerlukan sekurang-kurangnya 80 undi majoriti di Parlimen bagi meluluskan arahan sekatan itu, dan tidak menghadapi masalah berikutan parti pembangkang dari Parti Buruh menyatakan akan menyokong usul itu.

Ketika ini, lebih 90,000 sukarelawan sudah berada di hampir 3,000 pusat vaksin di seluruh England bagi membantu program pemberian dos penggalak, yang mana lebih banyak pusat pemberian vaksin akan dibuka termasuk unit bergerak dan pusat pemberian sementara di pusat beli belah dan stadium.

"Saya yakin jika kita tidak laksanakan pemberian dos penggalak sekarang, maka ia akan beri kesan kesihatan jauh lebih teruk pada bulan-bulan mendatang," kata Javid. - BLOOMBERG

Tiada ulasan: