DUBAI: Kaligrafi Arab, yang menjadi tulisan utama dalam dunia Arab dan Islam diisytiharkan sebagai senarai Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), semalam.
Sebanyak 16 negara majoriti Islam, diketuai oleh Arab Saudi, membentangkan pencalonan ke UNESCO, yang mana senarai diumumkan di Twitter.
"Khat Arab ialah amalan seni menulis tulisan Arab dengan cara yang lancar untuk menyampaikan keharmonian, keanggunan dan keindahan.
"Kelancaran skrip Arab menawarkan kemungkinan yang tidak terhingga, walaupun dalam satu perkataan, kerana huruf boleh diregangkan dan diubah dalam pelbagai cara untuk mencipta motif yang berbeza," kata pertubuhan itu dalam laman webnya.
Menteri Kebudayaan Arab Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan Al-Saud mengalu-alukan keputusan itu dan berkata ia akan "menyumbang kepada pembangunan warisan budaya ini".
Abdelmajid Mahboub dari Persatuan Pemeliharaan Warisan Arab Saudi, yang terbabit dalam cadangan itu, berkata kaligrafi itu "selalu berkhidmat sebagai simbol dunia Arab-Muslim".
Namun, ketika ini "ramai orang tidak lagi menulis dengan tangan kerana kemajuan teknologi", sambil menambah bahawa bilangan artis kaligrafi Arab menurun dengan mendadak.
"Penyenaraian UNESCO itu "sudah tentu akan memberi kesan positif" dalam memelihara tulisan tradisi itu," katanya.
Menurut laman web UNESCO, warisan budaya tidak ketara "adalah faktor penting dalam mengekalkan kepelbagaian budaya dalam menghadapi globalisasi yang semakin meningkat".
Kepentingannya "bukan manifestasi budaya itu sendiri tetapi kekayaan pengetahuan dan kemahiran yang dihantar melaluinya dari satu generasi ke generasi berikutnya". - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan