LONDON: Jumlah perjalanan menggunakan pengangkutan awam dilaporkan jatuh mendadak selepas Perdana Menteri, Boris Johnson menggesa warga Britain untuk bekerja dari rumah.
Lapor Daily Mail, kurang daripada 250,000 orang yang menaiki pengangkutan itu pada waktu pagi semalam berbanding seminggu lalu.
Malah, jumlah penumpang harian kini mencecah sejuta di bawah paras prapandemik.
Suasana di beberapa stesen, gerabak bawah tanah dan jalan raya sekitar London kelihatan seperti perintah berkurung dilaksanakan semula.
Arahan itu dikeluarkan selepas Johnson mengumumkan seorang rakyat negara ini meninggal dunia akibat Omicron.
Transport for London mendedahkan kira-kira 250,000 orang menggunakan pengangkutan tren bawah tanah pada pagi Isnin iaitu penurunan sebanyak 18 peratus berbanding 1.25 juta pada tempoh sama minggu lalu.
Jelas agensi itu, sebelum perintah berkurung pertama dilaksanakan pada Mac 2020, jumlah individu yang menggunakan pengangkutan awam itu adalah sebanyak 2.17 juta.
Jumlah penggunaan bas juga menurun sebanyak enam peratus kepada 1.15 juta orang pada Isnin berbanding 1.21 juta pada tempoh sama minggu lalu.
Data dari firma Satnav Tom Tom menunjukkan kebanyakan bandar di seluruh England mengalami penurunan trafik pada pagi Isnin lalu, dengan beberapa tempat menyaksikan kesesakan berkurangan sehingga 50 peratus.
“Trafik di Leeds pula menyaksikan penurunan sebanyak 31 peratus, Manchester jatuh 36 peratus dan Birmingham turun 32 peratus sejak akhir bulan lalu,” jelas laporan itu.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan