15 Disember 2021

Semua kategori pengembara boleh ke Singapura mulai 20 Disember

 SEMUA kategori pengembara terdiri daripada warganegara Malaysia dan Singapura boleh memasuki Singapura dan Malaysia menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) berkuatkuasa 20 Disember 2021. FOTO Arkib NSTP

SEMUA kategori pengembara terdiri daripada warganegara Malaysia dan Singapura boleh memasuki Singapura dan Malaysia menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) berkuatkuasa 20 Disember 2021. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Berikutan permintaan tinggi, semua kategori pengembara terdiri daripada warganegara Malaysia dan Singapura boleh memasuki Singapura dan Malaysia menggunakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) berkuatkuasa 20 Disember 2021.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, Pemastautin Tetap Malaysia masih boleh memasuki Malaysia menggunakan VTL-Land.

"Pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin. "Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian saringan Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

"Pada masa ini, VTL-Land masih terhad kepada perkhidmatan bas sahaja," katanya.

Menurut MITI, perkhidmatan bas VTL-Land akan menawarkan tiket bagi memenuhi permintaan yang meningkat dan tertakluk kepada status kesihatan awam semasa.

"Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan di Malaysia akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) manakala di Singapura akan menggunakan Terminal Queen Street (QST) dan Woodlands Temporary Bus Interchange (WTBI)," katanya.

Katanya, sebelum membuat pembelian tiket, pengembara yang ingin masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land dikehendaki mendaftar di https://mysafetravel.gov.my manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, dikehendaki mendaftar di https://go.gov.sg/vtl-portal.

Butiran mengenai keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg.

VTL-Land antara Malaysia dan Singapura dilancarkan pada 29 November 2021 bertujuan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol

kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Inisiatif ini membolehkan mereka yang terpisah daripada orang tersayang akibat pandemik untuk kembali semula bersama keluarga.

VTL-Land telah membolehkan pembukaan semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan dengan memperincikan langkah-langkah kesihatan yang perlu diambil dan dilaksanakan kepada pengembara Malaysia dan Singapura.

HMETRO.

Tiada ulasan: