JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, mengumumkan kenaikan kadar cukai rokok sebanyak 12 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2022, lapor laman berita Kompas semalam.
Menurut beliau, kenaikan itu bermakna harga kebanyakan jenis rokok yang kini dijual di Indonesia akan meningkat harganya kepada Rp38,100 (RM11.26) sebungkus mulai tahun depan.
"Presiden Joko Widodo (Jokowi) meminta semua persiapan dapat diselesaikan sebelum kita boleh mengguna pakai cukai baharu pada 1 Januari depan.
"Bagaimanapun, kenaikan tarif cukai rokok sebanyak 12 peratus ini bukan besar kerana tahun lalu kenaikan cukainya adalah 12.5 peratus," katanya dalam satu sidang akhbar semalam.
Rokok adalah pengeluaran kedua terbesar selepas beras yang dihasilkan kelompok isi rumah miskin di Indonesia sekarang.
Tambah Sri Mulyani, kenaikan kadar cukai rokok itu dilakukan selepas mempertimbangkan empat aspek utama iaitu mengurangkan bilangan perokok, isu pekerja di kilang rokok serta membanteras kegiatan penjualan rokok haram.
Beliau berharap, kenaikan cukai mampu mengurangkan kadar perokok berusia antara usia 10 hingga 18 tahun yang kini berjumlah 8.83 peratus, kepada unjuran 8.7 peratus yang ditetapkan bagi tahun 2024.
Pada peringkat ASEAN, Indonesia adalah negara ketiga yang menjual rokok pada harga tinggi di belakang Singapura dan Malaysia. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan