JAKARTA: Gunung Semeru yang meletus sejak petang Sabtu lalu, di Lumajang, Jawa Timur, dilaporkan masih mengeluarkan debu panas sekitar pukul 9.45 pagi (waktu tempatan), semalam.
Lapor Kompas.com, usaha mencari dan menyelamat mangsa yang maut akibat terperangkap dalam trak terhalang akibat aliran lahar panas.
Mangsa dikenal pasti sebagai penggali pasir di daerah Pronojiwo.
Ketua Agensi Penyelamat Jember, David Handoko Seto berkata, pihaknya mengalami kesukaran kerana lahar gunung berapi di kawasan sekitar itu masih panas.
Data dari Pusat Krisis Kesihatan, Kementerian Kesihatan Indonesia merekodkan seramai 62,084 orang terkesan akibat letusan gunung berapi itu.
Bilangan mangsa yang terkorban pula meningkat kepada 15 orang dan 27 individu dilaporkan masih hilang.
TAHAP DUA
Ketua Badan Geologi, Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral, Eko Budi Lelono memaklumkan Gunung Semeru masih berstatus tahap dua iaitu peringkat waspada.
Katanya, pihaknya masih membuat penilaian sama ada status tersebut masih kekal atau boleh dinaikkan pada bila-bila masa.
“Sehingga kini, kalau dilihat catatan rakaman dan data lain yang dimiliki Badan Geologi, Gunung Semeru masih belum banyak perubahan,” jelasnya.
Turut senada dengan situasi itu ialah Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Andiani.
Berdasarkan pengamatan secara visual atau menggunakan alat seismometer, Andiani berkata, belum ada peningkatan aktiviti letusan yang signifikan.
“Sampai sekarang belum ada peningkatan dan berlaku pengurangan jarak luncuran awan panas. Dari sisi kegempaan, sifatnya adalah gempa dangkal,” katanya.
RIBUAN RUMAH, KEMUDAHAN AWAM ROSAK
Sementara itu, sebanyak 2,970 rumah dan puluhan kemudahan awam lain dilaporkan terjejas akibat letusan gunung berapi tersebut.
Ketua Bidang Kesiapsiagaan dan Logistik Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Lumajang, Wawan Hadi Siswoyo berkata, antara kemudahan yang mengalami kerosakan termasuk 13 fasiliti awam seperti jambatan, pendidikan, dan rumah ibadat.
Jelasnya, bencana alam itu menjejaskan kehidupan 5,205 penduduk dan 1,300 dilaporkan hilang tempat tinggal.
“Seramai 305 hilang tempat tinggal di daerah Pronojiwo, 409 di Candipuro dan 188 yang lain di Pasirian,” katanya.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan