MOSCOW: Russia merekodkan dua kes pertama COVID-19 varian Omicron membabitkan warganegaranya yang pulang dari Afrika Selatan iaitu lokasi pertama varian baharu itu dikesan.
"Dua warganegara yang kembali ke Russia dari Afrika Selatan dikesan dijangkiti strain coronavirus Omicron," kata agensi kesihatan negara itu, Rospotrebnadzor, dalam satu kenyataan.
Agensi itu memaklumkan, semua warga Russia yang kembali dari Afrika Selatan dan negara jirannya akan menjalani saringan di sempadan dan ditempatkan di pusat pemerhatian khas.
Katanya, mana-mana individu yang bergejala atau didapati positif selepas menjalani ujian PCR akan dikuarantin di hospital penyakit berjangkit.
Russia, yang juga antara negara paling teruk dilanda pandemik coronavirus di dunia, hampir mengatasi penularan COVID-19 yang berpunca daripada varian Delta.
Negara itu merekodkan lebih 9.8 juta jangkitan dan 282,462 kematian akibat virus itu, juga angka tertinggi di Eropah, namun agensi statistik Russia memaklumkan angka sebenar sudah melepas 520,000 kematian pada akhir Oktober.
Meskipun membangunkan beberapa vaksin sendiri, Russia bergelut untuk menyuntik penduduknya berikutan sikap skeptikal mereka terhadap vaksin, dengan hanya 40 peratus warga Russia sudah lengkap divaksin setakat semalam.
Pihak berkuasa Russia juga enggan melaksanakan semula perintah berkurung ketat seperti di Eropah bagi menyokong ekonomi negara itu, yang menjadi antara penyumbang kepada kes kematian tinggi akibat COVID-19. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan