07 Disember 2021

Wanita terkejut dalam akaun bank ada £775,000

 

Ibu kepada lima anak itu terpaksa membelanjakan £20,000 (RM 111,817) daripada wang itu kerana mengalami masalah kewangan ketika pandemik Covid-19. - Getty Images/Science Photo Library RF

LONDON – Seorang wanita terkejut apabila mendapati wang sebanyak £775,000 (RM4.3 juta) dimasukkan ke dalam akaun banknya oleh Jabatan Cukai dan Hasil Diraja (HMRC) , lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Wanita yang identitinya tidak didedahkan  itu menunggu lebih setahun untuk HMRC menyedari kesilapannya dan mengambil semula wang tersebut.

Ibu  lima anak yang bekerja sendiri itu menyedari perkara tersebut apabila menyemak penyata akaun banknya pada Ogos 2020 dan menyifatkan pengalaman itu ‘luar biasa’, tetapi dengan pantas bertukar menjadi  ‘mimpi ngeri’.

“Selepas rasa terkejut  reda, saya fikir HMRC akan sedar bahawa pihaknya telah melakukan kesilapan besar dan mengambil  wang itu semula, tetapi ini tidak berlaku,’’ kata wanita itu.

‘’Saya andaikan bahawa kakitangan HMRC akan sedar kesilapan mereka setelah saya membayar cukai pada November 2020, tetapi tiada apa berlaku. Saya juga cuba menghubungi HMRC  tetapi tiada maklum balas dan talian saya diputuskan sebelum dapat  bercakap dengan seseorang,’’ jelasnya.

Selepas  15 bulan, wanita itu menghubungi bank Guardian untuk bertanya bagaimana dia boleh memulangkan baki wang setelah terpaksa membelanjakan hampir £20,000 (RM 111,817) wang tersebut kerana mengalami masalah kewangan ketika pandemik Covid-19.

Pihak HMRC yang dihubungi bank Guardian mendapati seorang kakitangannya  telah membuat kesilapan ketika cuba membuat pulangan cukai kepada wanita berkenaan berjumlah  £23.39 (RM130.76).

Ketakutan terbesar wanita itu adalah didakwa oleh HMRC di bawah Seksyen 24A Akta Kecurian 1968 kerana kesalahan menyimpan wang bukan miliknya. Jurucakap HMRC bagaimanapun memberitahu wanita itu bahawa organisasi tersebut ‘benar-benar mahu membantunya’ dalam kes itu.

“Kami mohon maaf atas kesulitan dialami individu tersebut dan sedang berusaha mendapatkan semula wang tersebut. Untuk jumlah yang telah dibelanjakan individu itu, kami akan bekerjasama dengannya untuk mengatur pembayaran balik dengan mengambil kira keadaan kewangannya,’’ kata pihak HMRC.

HMRC turut berkata, seorang penasihat pengurusan hutang akan menghubungi wanita itu bagi menetapkan jumlah yang mampu dibayar balik pada setiap bulan . Wanita itu telah ditawarkan untuk membayar balik baki itu selama lima tahun. – Agensi

Tiada ulasan: