07 Disember 2021

Cuaca melampau, empat pesawat gagal mendarat di Bali

 

PESAWAT Lion Air merupakan antara penerbangan yang tidak dapat mendarat di Bali susulan cuaca ekstrem. - AFP

JAKARTA: Sebanyak empat pesawat gagal mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali akibat keadaan cuaca melampau, kelmarin.

Keempat-empat penerbangan itu menggunakan pesawat Super Air Jet, Citilink, Batik Air dan Lion Air.

Pengurus PT Angkasa Pura I Lapangan terbang Ngurah Rai, Taufan Yudhistira berkata, empat penerbangan terpaksa berpatah balik ke lokasi pelepasan manakala tiga lagi pesawat melencongkan laluan pendaratan.

“Penerbangan dari Makassar ke Bali terpaksa dilencongkan ke Cengkareng, Tangerang. Kemudian, pesawat dengan laluan Bandung-Bali juga dilencongkan ke Surabaya.

“Penerbangan dari Cengkareng ke Bali juga dilencongkan Surabaya dan situasi itu berlaku susulan cuaca buruk,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga semalam, Bali dilanda hujan yang disifatkan paling lebat sepanjang tahun ini.

Jurucakap Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) Bali, Diana Hikmah berkata, orang ramai dinasihatkan berhati-hati susulan keadaan cuaca yang tidak menentu yang boleh mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.

UTUSAN.

Tiada ulasan: