07 Disember 2021

Najib gagal masuk bukti baharu

 Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/AZIAH AZMEE

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/AZIAH AZMEE

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, memutuskan demikian selepas mendapati Najib gagal menunjukkan bukti itu adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima oleh mahkamah.

Sementara itu, mahkamah memutuskan prosiding keputusan esok akan diteruskan secara maya.

Najib membuat rayuan terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tujuh kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Pada 2 Disember lalu, Najib melalui peguamnya memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu yang didakwa boleh mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.

Bukti baharu itu yang didakwa Najib, antaranya membabitkan pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

BHARIAN.

Tiada ulasan: