07 Disember 2021

Semeru rekod gegaran sehingga 100 kali sehari sebelum meletus

 

KEADAAN Gunung Berapi Semeru yang mengeluarkan asap putih di Lumajang, Indonesia. - AGENSI

LUMAJANG: Aktiviti Gunung Berapi Semeru dilaporkan semakin meningkat kira-kira 90 hari sebelum letusan berlaku pada 4 Disember lalu.

Pakar Geofizik Universiti Gadjah Mada (UGM), Dr. Wahyudi MS berkata, aktiviti itu termasuk gegaran yang berlaku kira-kira 50 kali sehari, bahkan ada yang mencapai 100 kali sehari.

Katanya, gegaran secara kerap itu merupakan satu daripada tanda-tanda gunung berapi akan meletus.

“Gegaran yang kerap boleh dijadikan petunjuk bahawa bakal berlaku letusan yang kuat,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk Desa Supiturang di Lumajang memberitahu, sebelum letusan berlaku, semua aliran sungai termasuk sungai di kawasan mereka menjadi keruh.

Seorang penduduk, Marsid berkata, air keruh itu menjadi satu daripada petanda gunung berapi tersebut akan meletus.

“Semua aliran air di daerah ini menjadi kotor dan selepas itu, pasti ada aliran lahar.

“Selain itu, petanda lain Semeru akan meletus termasuk keluarnya lahar berwarna putih yang lama kelamaan akan bertukar merah,” ujarnya.

Sementara itu, cuaca di sekitar gunung berapi itu dilihat baik dan tiada hamburan debu panas direkodkan semalam.

Sebaliknya, Semeru hanya mengeluarkan asap putih dan alira lahar dapat dilihat dari puncak gunung berapi tersebut.

UTUSAN.

Tiada ulasan: