07 Disember 2021

Pengalaman Arif mampu tarik hati rakyat Beting Maro

 

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Marzuk Shaary percaya Mohammad Arifiriazul Paijo mampu menarik hati rakyat Beting Maro untuk memilih PAS.

Beliau berkata, calon tunggal PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 itu mampu membawa suatu perubahan yang bermakna untuk Beting Maro.


“Saya percaya, pengalaman dan latar belakang Saudara Arif mampu menarik hati rakyat Beting Maro untuk memilih PAS.

“Pastinya, Saudara Arif mampu membawa suatu perubahan yang bermakna dalam membawa nafas baru untuk Beting Maro,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Sehuungan itu, beliau menyeru semua pengundi di DUN Beting Maro untuk memberi undi kepada calon PAS itu.

“Semoga hasrat kita melahirkan ‘anak sulung’ PAS di Sarawak mampu dicapai kali ini,” ujarnya lagi.

Semalam, beliau turut bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofrie Jaraiee serta sebahagian barisan kepimpinan PAS Pusat dan PAS negeri mengiringi Arif Paijo pada hari penamaan calon PRN Sarawak.

Arif berkelulusan Sarjana Muda Business Information System daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan kini bakal bergraduasi pada Januari 2022 selesai Sarjana Pengurusan Perniagaan (Corporate Master in Business Administration) daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beliau dan pasukan PAS Sarawak masih meneruskan gerak kerja dakwah, tarbiah dan siyasah di seluruh negeri Sarawak khususnya di DUN Beting Maro yang merupakan kerusi tradisi yang telah ditandingi oleh PAS sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi pada 18 Disember sementara pengundian awal pada 14 Disember.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 349 calon bertanding dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong menjadi rebutan paling ramai calon iaitu lapan orang.

Selain itu, pertandingan enam penjuru berlaku di tujuh DUN, lima penjuru (24), empat penjuru (33), tiga penjuru (13) manakala satu lawan satu di empat kawasan. – HARAKAHDAILY 7/12/2021

Tiada ulasan: