07 Disember 2021

Industri halal global: Indonesia masih jauh ketinggalan

 

ERICK Thohir bersama Ketua Sekolah Asrama Antarabangsa Assyifa Walmahmudiyyah, Abuya KH Muhyiddin Abdul Qadir Al- Manafi. - KOMPAS

JAKARTA: Indonesia walaupun memiliki penduduk beragama Islam terbesar di dunia, namun negara itu dilihat masih jauh ketinggalan dalam sektor halal.

Lapor Kompas.com, Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Erick Thohir berkata, industri ekonomi halal dunia pada hari ini dikuasai oleh negara Brazil dan Taiwan.

Oleh itu, beliau mahu menggalakkan lebih ramai individu terutamanya masyarakat beragama Islam meneroka industri halal di peringkat global.

“Indonesia mempunyai pasaran besar tetapi pengeluaran produk halal tidak berada dalam senarai 10 negara teratas,” katanya selepas melawat Sekolah Asrama Antarabangsa Assyifa Walmahmudiyyah di Sumedang, Jawa Barat.

Menurut Erick, sektor halal membuka peluang besar kepada rakyat tempatan untuk memasarkan produk mereka di peringkat global.

Justeru, kata beliau, terdapat potensi besar yang perlu diterokai rakyat di dalam sektor ini.

Atas sebab itu, katanya, BUMN mengambil perhatian serius dan akan melakukan beberapa inisiatif.

Jelas beliau, antara usaha itu adalah menjalinkan kerjasama dengan sekolah berasrama aliran agama di Indonesia.

“Ekonomi sekolah asrama harus menjadi pengisi industri halal. BUMN mempunyai pelbagai program untuk memajukan industri halal ini melalui sekolah asrama,” katanya. – AGENSI

Tiada ulasan: