02 Disember 2021

Keluarga mangsa terharu terima kunjungan Ustaz Zulkifli

 

Oleh IBNU JANIE

KOTA MELAKA:
 Norizan Md Isa, 42, bekas isteri kepada Almarhum Abdul Rahim Mohamad, 53, mangsa langgar pemandu mabuk, terharu dengan kehadiran Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail ke rumahnya, semalam.


Beliau pada mulanya tidak menyedari yang menziarahinya itu adalah Ustaz Zulkifli yang mesra disapa ‘Ustaz Zul’ yang juga merupakan mudir Pondok Baitul Qurro Sungai Udang.

“Allahu akbar! Ni Ustaz Zul ke? Saya tak cam ustaz tadi. Minta maaf. Saya kenal ustaz tapi saya tak cam tadi,” ujar beliau.

Norizan sempat bertanya khabar dan menjelaskan kepada Ustaz Zulkifli bahawa seorang anaknya yang terlibat dalam kemalangan itu iaitu Wardah, 20, pernah menuntut di Pondok Baitul Qurro.

Menurutnya, Wardah sangat teruja apabila diberitahu melalui telefon bahawa gurunya itu datang ke rumah untuk menziarahi keluarga mereka, namun tidak dapat bersua kerana Wardah masih dirawat di Hospital Melaka.

Almarhum Abdul Rahim

Beliau yang sudah lama berpisah dengan Almarhum Abdul Rahim dan kini sudah berkahwin lain namun anak-anaknya itu akan bergilir-gilir bermalam di rumahnya dan rumah bekas suaminya.

Sementara itu kakak kepada Wardah, Masyitah, 22, juga memberitahu sememangnya Wardah sangat gembira mendengar berita itu kedatangan Ustaz Zulkifli.

“Dia (Wardah) cakap dekat saya kalau Ustaz Zul datang cakap pada Ustaz Zul yang dia adalah bekas pelajar Ustaz Zul.

“Dia tanya saya tadi, Ustaz Zul kenal dia (Wardah) lagi tak? Saya kata pada dia masih kenal. Dia gembira betul,” ujar Masyitah yang merupakan anak kedua dalam keluarga.

Pesuruhjaya PAS Melaka itu menziarahi keluarga Almarhum Abdul Rahim yang maut apabila terlibat dalam kemalangan dengan pemandu mabuk di persimpangan lampu isyarat Jalan Kelebang pada malam 27 November lepas.

Ketika kejadian itu Almarhum bersama-sama dengan dua lagi anaknya sedang dalam perjalanan pulang daripada mengambil seorang lagi anaknya Wardah yang baru pulang kerja.

Wardah patah kaki dari bahagian paha yang akan menjalani pembedahan memasukkan besi, Nurul A’liyah, 13, pula baru menjalani pembedahan kerana mengalami kecederaan dalaman pada usus kecil sementara anak perempuan bongsunya, Sofia U’mairah, 11, patah tangan kanan.

Keluarga Almarhum turut menerima sumbangan daripada Ustaz Zulkifli dan PAS Kawasan Tangga Batu. Turut mengiringi Ustaz Zulkifli ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

Tiada ulasan: