02 Disember 2021

 Projek pembinaan ECRL membabitkan jajaran sepanjang 665 kilometer - Foto BERNAMA

Projek pembinaan ECRL membabitkan jajaran sepanjang 665 kilometer - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kos keseluruhan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer kekal pada harga RM50.27 bilion meskipun dengan muktamadnya keputusan kerajaan Selangor untuk pelaksanaan Jajaran Utara ECRL yang merentasi utara negeri itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, berkata anggaran kos RM50.27 bilion itu mengambil kira kerja terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer menggunakan dua mesin pengorek terowong (TBM) yang canggih serta Terowong Serendah sepanjang 14.10 kilometer melalui kaedah letupan dan gerudi.

Beliau berkata, dua TBM bagi Terowong Genting dengan diameter 8.98 meter setiap satu, adalah yang terbesar pernah digunakan

untuk penggalian terowong rel di Malaysia dan akan menembusi kawasan berbukit di sepanjang kawasan Bukit Tinggi antara Bentong dan Gombak dengan kedalaman sedalam 750 meter daripada puncak tertinggi.

Katanya, Terowong Serendah pula akan dibina untuk jajaran ECRL bagi mengelak kawasan tadahan air Empangan Batu dan mengurangkan impak sosial antara kawasan Gombak dan Serendah.

"Anggaran Kos ECRL ini juga akan merangkumi 'rolling stock' ECRL apabila beroperasi kelak, yang terdiri daripada set 'electric multiple unit' (EMU) untuk penumpang dan lokomotif serta gerabak untuk perkhidmatan kargo," katanya pada majlis penyerahan dokumen (Jajaran Utara) ECRL di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, Jajaran Utara ECRL akan memasukkan 'Serendah Bypass' yang amat diperlukan untuk perkhidmatan rel Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) ke dalam skop Projek ECRL, yang mana landasan berkembar terdiri daripada landasan Tolok Meter dan landasan Tolok Standard akan dibina antara Serendah dan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, 'Serendah Bypass' akan berfungsi sebagai laluan pelepasan kargo yang penting untuk perkhidmatan rel kargo KTMB yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan rel ketika melintasi pusat bandar Kuala Lumpur.

Katanya, 'Serendah Bypass' juga dijangka akan meningkatkan jumlah kargo untuk ECRL, kerana apabila beroperasi, ia akan menampung kargo dari negeri pantai timur dan laluan KTMB sedia ada.

Penjajaran itu, jelasnya, akan menjadikan ECRL infrastruktur yang berdaya maju sejajar dengan nisbah hasil 70 peratus perkhidmatan kargo dan 30 peratus perkhidmatan penumpang.

"Atas faktor ini, Jajaran Asal ECRL yang ditambah baik akan memasukkan landasan dwi tolok kira-kira 30 kilometer dari stesen ECRL Jalan Kastam ke kawasan pelabuhan Northport dan Westports.

"Landasan dwi tolok tambahan akan menjadi komponen utama untuk sambungan jarak jauh dan membuka jalan kepada ECRL untuk melengkapkan 'landbridge' yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan di pantai timur dan Pelabuhan Klang di pantai barat Semenanjung," katanya.

Wee berkata, perubahan kepada Jajaran Asal juga selaras dengan penyelidikan industri rel yang menganggarkan ECRL akan mengangkut lebih banyak kargo dan penumpang sekiranya melalui jajaran utara yang akan melalui kawasan perindustrian dan kediaman sedia ada yang akan memenuhi statistik unjuran pendapatan ECRL bila beroperasi kelak.

Beliau berkata, ia juga akan menghubungkan terus penumpang dari pantai timur ke ITT Gombak yang mana adalah pintu masuk ke Kuala

Lumpur dan juga sebaliknya.

"Perjalanan dari Kota Bharu ke ITT Gombak dan sebaliknya pula dijangka mengambil masa hanya empat jam menggunakan ECRL, berbanding purata tujuh jam melalui jalan darat atau sehingga 12 jam semasa musim perayaan.

"Pembinaan ECRL juga dijangka memacu lagi pertumbuhan sektor pembinaan dan bahan binaan serta menyokong pengambilan tenaga kerja tempatan yang termasuk profesional, pekerja mahir dan pekerja am untuk aktiviti berkaitan pembinaan," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: