02 Disember 2021

Sembilan tahun ‘lesap’, ahli perniagaan akhirnya ke penjara

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Paiman Shakimon, yang menghilangkan diri selama sembilan tahun menjalani hukuman penjara 13 tahun bermula hari ini.

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan ahli perniagaan Paiman Shakimon, yang menghilangkan diri selama sembilan tahun menjalani hukuman penjara 13 tahun bermula hari ini.

Hakim Muhammad Jamil Hussin memerintahkan Paiman, 62, yang hadir ke mahkamah hari ini, menjalani hukuman penjara itu selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap lelaki itu kerana menipu dan memalsukan dokumen.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh yang telah menghilangkan diri selama sembilan tahun berjaya diberkas pihak polis.

“Tertuduh didapati telah masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia. Hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan dia sememangnya Paiman bin Shakimon,” katanya menurut laporan Bernama.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Hanafiah Zakaria menafikan dia adalah “Paiman Shakimon”.

Muhammad Jamil menolak penafian tertuduh itu atas alasan keputusan cap jari JPN jelas menunjukkan identiti sebenarnya.

Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen pada 2011 selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.

Bagaimanapun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, lelaki itu telah menghilangkan diri. Susulan itu pada 20 Julai 2012 mahkamah mengeluarkan waran tangkap, dan waran pemenjaraan juga dikeluarkan pada 11 Okt tahun sama kerana gagal hadir pada prosiding rayuannya.

Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua individu bergelar Datuk dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

FMT.

Tiada ulasan: