02 Disember 2021

Omicron boleh atasi beberapa imuniti

  Foto AFP

Foto AFP

JOHANNESBURG: Varian Omicron dilihat berupaya mengatasi beberapa imuniti, namun vaksin masih menawarkan perlindungan terhadap penyakit teruk, menurut data terkini dari Afrika Selatan yang mana ia segera mengatasi Delta menjadi varian dominan.

Omicron yang menimbulkan kebimbangan global mengenai lonjakan jangkitan, pertama kali dikesan di selatan Afrika minggu lalu dan mendorong negara di dunia mengenakan sekatan perjalanan dan mengambil langkah lain untuk membendungnya.

Menurut laporan rasmi semalam, varian baharu itu dikesan di lima daripada sembilan wilayah Afrika Selatan dan berkemungkinan terdapat di seluruh negara.

Jumlah kes harian meningkat dua kali ganda kepada 8,561. Tidak diketahui berapa ramai daripada mereka dijangkiti varian Omicron kerana tidak semua sampel ujian tertakluk kepada penjujukan genomik, tetapi data rasmi menjelaskan Omicron "dengan pantas menjadi varian dominan".

Omicron menyumbang 74 peratus daripada 249 genom virus yang dijujukkan di Afrika Selatan pada November, menurut Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD), yang mengumpul data sebagai sebahagian daripada rangkaian nasional yang lebih luas untuk pengawasan genomik.

Afrika Selatan hanya menjalankan penjujukan genom terhadap sebahagian kecil sampel yang dikumpul setiap minggu. NICD tidak memberikan jumlah kes jangkitan Omicron yang disahkan.

"Profil mutasi dan gambaran epidemiologi menunjukkan Omicron mampu mengatasi beberapa perlindungan imun kita (untuk menyebabkan jangkitan) tetapi perlindungan vaksin terhadap penyakit teruk dan kematian sepatutnya kurang terjejas," kata laporan terbaru daripada rangkaian pengawasan itu.

Sampel terawal yang varian itu dikesan dikumpul pada 8 November di Gauteng, wilayah paling ramai penduduk di Afrika Selatan, terletaknya Johannesburg dan Pretoria.

Sejak itu, ia dikesan di Cape Timur, KwaZulu Natal, Mpumalanga dan Cape Barat.

Terdahulu, penganjur menghentikan festival muzik selepas 36 orang disahkan positif COVID-19 di tapak berkenaan.

Pesta muzik Ballito Rage bermula pada Selasa di bandar Ballito, utara Durban di pantai timur Afrika Selatan. Daripada 940 orang yang diuji untuk COVID-19 dalam lapan jam pertama acara itu, 32 pengunjung dan empat kakitangan positif.

Tidak diketahui sama ada 36 kes itu dijangkiti Omicron atau varian lain.

Varian Delta mencetuskan gelombang ketiga jangkitan di Afrika Selatan yang memuncak lebih 26,000 kes sehari pada awal Julai.

Sejak permulaan pandemik itu, Afrika Selatan merekodkan hampir tiga juta jangkitan dengan lebih 89,000 kematian, tertinggi di benua Afrika. - AGENSI

Tiada ulasan: