02 Disember 2021

Penjawat awam Kelantan dapat bonus RM1,000

 

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
 Kerajaan Kelantan meluluskan pemberian bonus kepada penjawat awam negeri sebanyak RM1,000 manakala bagi lantikan politik pula mendapat RM500.


Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, bonus RM500 kepada pelantikan politik termasuk penghulu, kakitangan Bahagian Dakwah Halaqat dan Pegawai ICT Dun.

Manakala bagi guru-guru al Quran dan fardhu ain di bawah Bahagian Halaqat pula diberi bonus sebanyak RM250

“Pemberian bonus tersebut sebagai menghargai jasa dan keringat mereka bagi melancarkan jentera pentadbiran kerajaan negeri,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2022 pada persidangan Dun hari ini.

Persidangan tersebut bagi kali kedua (belanjawan) bagi tempoh penggal yang keempat Dewan Negeri kelantan ke-14.

Menteri Besar juga berkata, sejak wabak Covid-19 melanda negara, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM122.8 juta untuk menangani kesan pandemik tersebut.

Kata beliau bagi tahun 2022 kerajaan negeri memperuntukkan RM22 juta termasuk bantuan prihatin, pengurusan operasi, projek-projek khas serta meningkatkan fasiliti kesihatan.

“Pandemik menjejaskan kelangsungan kehidupan rakyat. Justeru kerajaan negeri memperuntuk sejumlah RM21.09 juta untuk memperkasa sumber dan rantaian bekalan makanan seperti pertanian, penternakan dan lembu pawah,” katanya.

Menurut beliau pertanian merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK Kelantan.

Justeru itu katanya pada 28 Oktober lepas kerajaan negeri melancarkan Dasar Pertanian Negeri Kelantan dan Pelan Tindakan Strategik Pertanian Negeri Kelantan 2021-2025.

Untuk itu kata beliau sejumlah RM6.39 juta diperuntukkan untuk kemajuan pertanian meliputi promosi pertanian dan latihan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri, galakan pertanian dan penternakan.

“Tahun 2022 menyaksikan pertambahan peruntukan bagi program pembangunan pertanian iaitu sebanyak RM1.2 juta termasuk pembangunan industri padi, pelbagai komoditi, sayur-sayuran dan buah-buahan,” ujarnya. – HARAKAHADILY 2/12/2021


Tiada ulasan: