02 Disember 2021

Penunjuk berwarna Eatmarna, Tawakkalna elak sesak dua masjid suci

  Foto ihsan Okaz/Saudi Gazette

Foto ihsan Okaz/Saudi Gazette

MAKKAH: Jemaah kini boleh mengelak kesesakan ketika mengerjakan umrah atau beribadat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah apabila mempunyai pilihan untuk memilih slot di luar waktu puncak.

Ini kerana Kementerian Haji dan Umrah mengemas kini aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna dengan menambah penunjuk indikator berwarna yang menunjukkan status kesesakan di dua masjid berkenaan.

Memetik laporan Saudi Gazette, langkah itu membantu jemaah mengelak daripada membuat tempahan untuk ibadah umrah atau mengerjakan solat di Masjidil Haram dan Rawdah Sharif di Masjid Nabawi serta menziarahi makam Nabi Muhammad SAW ketika waktu sesak, sebaliknya memilih waktu lebih sesuai.

Menurut kemas kini terkini aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna, penunjuk kesesakan ditambahkan pada aplikasi untuk memudahkan jemaah membuat janji temu pada waktu yang kurang padat.

Pada aplikasi itu, warna kelabu menunjukkan tiada ketersediaan tempahan, manakala hijau menunjukkan sedikit sesak, oren sederhana sesak dan merah sangat sesak.

Dua aplikasi ini sangat penting dengan Tawakkalna (fungsinya seperti MySejahtera di Malaysia) digunakan ketika pendaftaran masuk hotel dan premis perniagaan, manakala Eatmarna berfungsi sebagai medium untuk menempah slot ketika mengerjakan ibadah di Madinah dan Makkah. - AGENSI

Tiada ulasan: