20 Disember 2011

Jangan sensasi isu masjid

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Orang ramai dinasihatkan tidak mensensasikan isu Masjid Kariah Mantin yang disimbah cat Khamis lalu kerana kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, spekulasi yang ditimbulkan orang ramai dikhuatiri akan mewujudkan suasana tegang.

“Kita mohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kes ini kerana siasatan masih dijalankan.

“Setakat ini, kita telah mengambil keterangan beberapa orang saksi kejadian ini. Kita yakin siasatan akan selesai dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, se­­ma­lam.

Hamdan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian, diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan perbuatan khianat.

Sementara itu, wakil pe­ngurusan Masjid Kariah Man­tin yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an berkata, pihaknya akan melakukan kerja pembersihan dan mengecat semula tembok serta dinding masjid berkenaan yang dicemari cat merah, hari ini.

“Pihak pengurusan masjid telah mendapatkan kebenaran untuk membersihkan dan mengecat semula masjid daripada pihak polis.

“Kerja-kerja pembersihan akan dilakukan secara gotong royong,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: