20 Disember 2011

Tadika PASTI Pilihan Terbaik Rakyat Malaysia

24 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan tadika berteraskan Islam yang menawarkan peluang pendidikan kepada kanak-kanak yang berusia 4 hingga 6 tahun di negara ini. Dengan kurikulum yang komprehensif, sistem pendidikan yang progresif dan guru-guru yang terlatih, PASTI telah menjadi pusat pendidikan kanak-kanak yang terbaik di Malaysia.

Sewaktu berucap merasmikan Hari Anugerah Kualiti PASTI Peringkat Kebangsaan di Hotel Seri Malaysia, Ipoh baru-baru ini, Muhammad Sabu, Timbalan Presiden PAS menyatakan bahawa PASTI ditubuhkan oleh PAS bagi melahirkan insan soleh yang pintar di negara ini.

Ia merupakan tanggungjawab PAS kepada masyarakat dalam bidang pendidikan bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan bijaksana. PASTI yang telah wujud lebih 25 tahun di negara ini mempunyai rangkaian cawangannya yang banyak bagi memudahkan masyarakat mendapatkan pendidikan yang lengkap untuk anak-anak mereka. Di PASTI, murid-murid dididik dan diasuh dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang dapat membangunkan rohani, intelek, emosi dan jasmani mereka mengikut acuan Islam.

Menurut Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Hassan Ahmad, ibu bapa yang menghantar anak-anak ke PASTI sebenarnya telah membuat keputusan yang bijak dan tepat kerana PASTI terbukti telah berjaya mendidik dan membimbing serta menanamkan asas-asas Islam yang kukuh kepada kanak-kanak.

Dalam menghadapi situasi gejala sosial yang semakin menjadi-jadi di negara ini, ibu bapa sepatutnya menghantar anak-anak mereka ke PASTI supaya anak-anak mereka memiliki sahsiah dan benteng agama yang mantap. Tambah beliau lagi, misi PASTI adalah mahu menjadikan murid-murid mampu menguasai 5M, iaitu `membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamal’.

PASTI akan melaksanakan beberapa inovasi dan program baru untuk murid-muridnya seperti program Pra-Tahfiz PASTI, solat dhuha, kaedah dan teknik pengajaran-pembelajaran terkini dan sebagainya. “PASTI berhasrat menjadi pusat pendidikan kanak-kanak terunggul di negara ini dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia’, tambah beliau.

Kejayaan PASTI kerana kehebatan kurikulumnya dan kemahiran guru-gurunya. Kurikulum dan kandungan pendidikan yang disampaikan oleh PASTI jelas lebih jauh kehadapan dalam sistem pendidikan prasekolah yang ada di negara ini.

Sempena Hari Anugerah Kualiti PASTI Malaysia tersebut, persembahan khutbah dan nasyid oleh murid-murid PASTI serta pelancaran Manual Pengurusan PASTI turut diadakan.

Bagi ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka yang berusia 4 hingga 6 tahun ke mana-mana PASTI di negeri Perak ini, pendaftaran masih dibuka. Untuk maklumat lanjut, dapatkan maklumat dengan menghubungi 017-5525949 (En.Ridzuan Rashid) atau email: pastiperak@yahooo.com, Facebook: pastimalaysia.

Dengan kurikulum yang komprehensif, sistem pendidikan yang progresif dan guru-guru yang terlatih, PASTI telah menjadi prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di Malaysia. Misi PASTI adalah mahu menjadikan murid-murid mampu menguasai 5M, iaitu `membaca, menulis, mengira, menghafal dan mengamal’.

SAFARIZAL SALLEH/-

Tiada ulasan: