20 Disember 2011

Tarik anak muda ceburi politik

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA KLAWANG - Media baru menjadi salah satu faktor penarik bagi golongan muda menceburkan diri dalam arena politik, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz.


Nik Abduh berkata, situasi sekarang tidak seperti zaman pasca kemerdekaan di mana politik hanya menarik minat golongan tua kerana mereka hanya cenderung membaca akhbar yang diterbitkan pada masa itu.

Menurutnya, anak muda hari ini bukan sahaja berhibur dengan muzik atau filem kegemaran mereka, malah mula memberi tumpuan kepada arena politik.

“Jika dahulu anak muda sering melakukan kerja yang tidak ada kaitan dengan politik dan ia menjadi asing bagi mereka.

“Tetapi kini berbeza, di tangan mereka ada beratus-ratus maklumat dan berita mengenai politik yang mereka baca dari seluruh dunia,” katanya pada Majlis Ceramah Umum Pas yang diadakan di Balai Islam Kampung Kuala Pah, se­ma­lam.

Hadir sama, Adun Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani; Pesuruhjaya Pas Me­laka, Adly Zahari; Ketua De­wan Pemuda Pas Negeri Sembilan, Khairul Anuar Wafa dan Yang Dipertua Pas Kawasan Jelebu, Kateran Marman.

Nik Abduh berkata, Pas turut memberi kepercayaan kepada golongan muda untuk menjawat jawatan pesuruh­jaya Pas negeri.

Menurutnya, hal itu dibuktikan dengan kedua-dua jawatan tersebut disandang oleh golongan muda di Melaka dan Negeri Sembilan.

“Tidak ada di tempat lain jawatan pesuruhjaya ini disandang oleh orang muda kecuali Melaka dan Negeri Sembilan.

“Ini membuktikan Pas percaya orang muda mampu meneruskan perjuangan Pas dan membuat kerja-kerja untuk parti bagi mencapai matlamat perjuangan,” katanya.

Beliau berkata, Pas adalah parti Islam dan perjuangan Pas mudah iaitu mahu membawa orang Melayu kembali kepada agama Islam.

“Namun ada segelintir mengatakan Pas membawa Islam yang tidak betul. Apabila orang mendengar seruan kembali kepada Islam, adakah ia tidak berguna?,” katanya.

Katanya, kepercayaan diberikan rakyat di kedua-dua buah negeri itu me­nunjukkan mereka yakin dengan perjua­ngan Pas meskipun diketuai oleh golongan muda.

Sinar Harian

Tiada ulasan: