20 Disember 2011

Terbabas dekat perkuburan

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Tindakan pantas daripada orang awam berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan berhampiran Perkuburan Cina, Rimba Panjang, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, M Rajamorthi berkata, mangsa, Chong Kin Yung, 55 nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik di lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku pada kira-kira jam 7.40 pagi dan mangsa ketika itu sedang memandu seorang diri dari arah Sungai Siput ke Ipoh.

“Kami menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada jam 7.53 pagi dan telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai lima anggota bersama satu jentera terlibat dalam operasi membantu serta menyelamat mangsa, dengan diketuai pegawai bomba, Nor Azam Abd Rahman,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau turut berterima kasih kepada orang awam yang telah bertindak pantas mengeluarkan mangsa daripada keretanya, sekali gus telah menyelamatkan nyawa mangsa ketika itu.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal, lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik, serta melanggar tiang elektrik.

“Akibat kejadian itu, mangsa telah tersepit dalam kereta berkenaan dan telah diselamatkan oleh orang awam yang turut menyaksikan kejadian.

“Mangsa telah mengalami beberapa kecederaan pada bahagian badan dan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Siput untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti dan kejadian berkenaan masih lagi dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan, kereta yang dipandu mangsa turut mengalami kerosakan teruk akibat kejadian berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: