20 Disember 2011

Penjual ayam didenda RM1,600 miliki daun ketum

24 Muharram 1433H. [MOD] -

SIK - Mahkamah Majistret Sik, semalam, mengarahkan seorang penjual ayam membayar denda RM1,600 atas kesalahan memiliki sejumlah 2.01 kilogram (kg) daun ketum.

Muhamad Syafik Sobri, 20, dituduh memiliki daun tumbuhan yang mengandungi Mitragynine, iaitu bahan bahan yang disenaraikan dalam jadual pertama dan ketiga (bahan-bahan Psikotropik) Akta Racun 1952.

Muhamad Syafik didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (pindaan 2003) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(35) akta sama, kira-kira jam 2.50 petang, 27 Ogos lalu, di jalan Padang Awam, kawasan Kampung Mandul, Sik.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun, atau kedua-duanya sekali.

Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin mengarahkan Muhamad Syafik membayar denda RM1,600 atau penjara lima bulan jika gagal membayar jumlah denda ditetapkan.

Terdahulu, Muhamad Syafik dalam rayuannya memohon agar dikenakan hukuman paling minimum atas alasan hanya bekerja sebagai penjual ayam dengan pendapatan RM30 sehari selain tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan sebelum ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: