20 Disember 2011

Pas perbanyak program komuniti

24 Muharram 1433H. [MOD] -

POKOK SENA - Pas Kawasan Pokok Sena akan memperbanyakkan Program Pemimpin Bersama Komuniti tahun hadapan, dalam usaha mengenal pasti masalah penduduk dan golongan sasaran yang memerlukan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, program itu diadakan setiap dua minggu dan kini mula menampakkan hasil.

Menurutnya, melalui program itu pelbagai masalah dapat dikesan dan Majlis Ketua Kampung (MKK) akan memanjangkan masalah itu kepada wakil rakyat, seterusnya ke pengetahuan Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut.

“Pemimpin setempat seperti MKK yang akan mengenal pasti terlebih dahulu masalah yang dihadapi penduduk dan mengenal pasti individu yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada wakil rakyat dan Kerajaan Negeri.

“Kita juga akan memperbanyakkan lagi program turun padang seperti yang kita lakukan ini pada tahun hadapan kerana ia mampu mendekatkan pemimpin dengan masyarakat komuniti di seluruh kawasan Pokok Sena,” katanya kepada Sinar Harian semasa turun padang di Kampung Bukit Lada.

Lima kampung berjaya dilawati iaitu membabitkan Kampung Bukit Lada, Kampung Bukit Payong, Kampung Palas, Kampung Mata Air dan Kampung Lenchut Emat.

Mahfuz, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menekankan peranan belia dalam menyumbangkan perubahan kepada kampung masing-masing

Menurutnya, peranan belia sangat penting untuk membawa perubahan kepada kampung kerana mereka mampu menyumbangkan tenaga dan juga buah fikiran.

“Generasi lama sudah tidak berkeupayaan lagi, maka generasi muda iaitu barisan pelapis bersama kita turun padang memperlihatkan komitmen, keupayaan dan kemampuan mereka yang sangat menyerlah dalam mengetahui masalah utama di kawasan mereka,” katanya.

Tambahnya, sambutan masyarakat pada program yang dianjurkan sebelum ini membuktikan program berbentuk sedemikian sememangnya dinantikan rakyat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: