20 Disember 2011

Minta kaji faktor jenayah meningkat

24 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pas meminta kerajaan mengkaji faktor yang mempengaruhi peningkatan kes jenayah membabitkan penuntut antarabangsa, khususnya dari Afrika yang belajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di negara ini.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik berkata, kes-kes jenayah seperti sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen yang dikaitkan dengan pelajar negara terbabit dilihat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, perkara paling utama, katanya, adalah memastikan pengambilan pelajar luar negara terutama Afrika benar-benar menepati syarat kemasukan ke IPT dan kesan daripada tindakan undang-undang yang telah diambil oleh pihak kerajaan.

“Walaupun banyak operasi telah dilakukan tetapi jumlah kes yang disiarkan tidak pernah berkurangan, malah semakin meningkat. Justeru, perlu dikaji sebab-sebab berlaku dan meningkatnya jenayah tersebut khususnya yang dilaporkan dalam akhbar,” katanya.

Dalam laporan media tempatan baru-baru ini, seramai 89 warga Afrika termasuk lima wanita ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selain ada yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan antarabangsa.

Menurutnya, kes-kes jenayah membabitkan pelajar dari negara Afrika terutama di sekitar Lembah Klang dilihat tidak berkurangan, malah semakin meningkat.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung membabitkan isu keselamatan negara yang perlu diberi perhatian segera.

Sinar Harian

Tiada ulasan: