22 Disember 2011

Kecurian meter air berleluasa

26 Muharram 1433H. [MOD] -

TANAH MERAH – Kes kecurian meter air pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) makin meningkat apabila 17 individu membuat laporan dalam masa seminggu sejak Khamis lalu ekoran kejadian tersebut.

Ketua Operasi AKSB jajahan Tanah Merah, Mohd Iburadi Mat Kutar berkata, pengguna perlu peka keadaan meter air mereka agar masalah kecurian tidak berlaku bagi mengelak bekalan air terputus secara tiba-tiba.

Menurutnya, tahun lalu ada kecurian meter air namun terhenti ekoran tertangkapnya individu yang menjalankan kegiatan tersebut, namun kini masalah tersebut kembali lagi.

“Kecurian tersebut makin meningkat, AKSB berharap 18,200 pengguna di daerah ini lebih berhati-hati terutama bila melihat ada individu dicurigai pada malam hari.

“Kita berharap jika berlaku kes kecurian pengguna laporkan secepat mungkin kepada pihak polis dan AKSB agar baik pulih dapat dilakukan dalam masa singkat,” katanya.

Mohd Iburadi berkata, pihaknya bersama polis turut melakukan rondaan bagi membasmi kecurian meter air semakin berleluasa.

Katanya, antara kawasan yang banyak berlaku kecurian meter air dekat perumahan dan premis niaga dalam bandar.

“Tembaga yang ada pada meter air itu akan dijual berikutan harganya mahal dan ia pastinya amat membebankan pengguna AKSB jika berterusan kerana harga seunit meter tersebut RM80.

“Bila air terputus jangan sangka pihak AKSB memotong air kerana kita pastinya akan memberikan surat amaran atau notis seminggu sebelum, sebaliknya periksa dahulu meter masing-masing,” katanya.

Tambahnya, pastikan keadaan meter air sentiasa terjaga bagi mengelak masalah air terputus, secara tidak langsung mengganggu rutin harian pengguna.

“Pagi kelmarin pengguna Banggol Kemunting mengalami nasib sama apabila bangun pagi tiada air, dan melihat meter air sudah tiada.

“Sedar kejadian tersebut dia terus membuat laporan polis dan tindakan seperti itu yang kita mahukan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: