22 Disember 2011

Pemuda yakin PAS terus di persada tanah air

26 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat Malaysia mengambil sikap positif di atas isu yang membabitkan mantan timbalan dan naib presiden, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Dr Hasan Ali.

Naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, isu yang hangat dibincangkan dalam media arus perdana akan dapat diselesaikan dengan penuh hikmah oleh pimpinan yang ingin melihat PAS akan terus menjadi payung kepada rakyat yang amat yakin akan perjuangan yang telah dibawa semenjak ia ditubuhkan.

Malah, katanya dengan merujuk kenyataan Nasharudin, Pemuda PAS yakin akan pegangannya untuk terus bersama PAS yang telah lama menjadi wadah perjuangannya sehingga kini.

“Dan kami harapkan Nasharudin akan terus memainkan peranan penting untuk perkembangan PAS di seluruh tanah air kelak.

Bagi isu Hasan pula, ujarnya pihaknya yakin dengan melihat pandangan pelbagai pimpinan PAS dan beliau sendiri sebelum ini akhirnya akan membuahkan satu penyelesaian yang terbaik kelak.

“Dan kami penuh yakin pimpinan PAS dan parti PAS sebagai wadah selama ini mampu keluar daripada kemelut yang sengaja ditimbulkan.

“Kami sekali lagi yakin apa yang diperkatakan di dalam kedua-dua isu tersebut ingin melihat PAS terus maju dan menjadi wadah keyakinan buat rakyat bagi menggantikan Umno di masa hadapan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, walaupun pelbagai isu dalaman yang ada, PAS akan terus diperkasa di persada tanah air tanpa terhenti seperti mana yang kini berlaku kepada Umno yang hampir dipinggirkan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: