22 Disember 2011

Oley: Nasrudin seronok berlakon untuk berdakwah

26 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan tidak dapat menyembunyikan perasaan seronok kerana berpeluang berlakon dalam filem.

Keseronokan yang dirasainya itu bukan berpunca dari kejayaannya menggapai dunia glamour seperti yang diimpikan sesetengah pihak, tetapi kerana berpeluang mengumpulkan pengalaman berguna untuk melaksanakan satu kaedah dakwah cara baru.

Menurut Nasrudin, bidang perfileman sememangnya amat asing bagi saya, malah beliau sebenarnya gementar apabila diarahkan berlakon apatah lagi sambil memegang gitar.

"Tetapi untuk kepentingan dakwah, saya terpaksa gagahkan diri. Apabila itu semua dapat saya lakukan seperti yang diarahkan oleh pengarah dan ternyata memberikan hasil yang baik bagi dakwah, terasa seronok pula," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Ekoran keasingannya dalam dunia lakonan, terutama membabitkan petikan gitar, beliau mengakui terasa amat kekok untuk melaksanakan aksi itu dalam filem Oley terbitan Solidariti Muslim Prihatin pada 15 Disember lalu.

"Ketika saya remaja dan menuntut di peringkat menengah dunia dulu, ada juga sekali sekali saya menyentuh gitar, tetapi tidaklah faham sangat dengan note muzik. Selepas itu, itu semua dah jadi begitu asing bagi saya.

"Jadi setelah filem pendek Oley itu diterbitkan dan ditontoni ramai, tidak hairanlah jika ada di antara rakan-rakan saya yang memberitahu kepada saya yang saya kelihatan agak kekoh dengan aksi memegang gitar dalam filem itu," jelasnya.

Namun, 'Oley' kini ternyata telah menjadi tontotan ramai dan lakonan beliau turut disenangi para penonton kerana beliau bukan sekadar dapat beraksi dengan baik, malah lakonannya memberikan impak cukup besar bagi bidang dakwah sehingga mampu memberikan keinsafan kepada orang ramai, terutama kepada mereka yang menentang hukum Allah, khususnya hukum hudud.

Tambah mengesankan lagi apabila filem tersebut turut dilakoni pengacara, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman; vlogger Youtube terkenal, Mat Lutfi dan Man John dengan lakonan watak menarik yang mewakili segmen anak-anak muda pelbagai latar belakang yang mendambakan pengetahuan sebenar mengenai Islam.

Lebih menarik apabila 'Oley' turut dilakonkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga dari ILHAM, Nik Mohd Abduh; Ketua Penerangan Dewan itu yang juga Ahli Jawatankuasa Muslim Care, Riduan Mohd Nor; penceramah selebriti yang sedang meningkat naik, Ustaz Syed Kadir Hussin Al Joffre serta pendakwah bebas, Ustaz Imran Al-Malizi.

Harakahdaily semalam melaporkan klip video atau filem pendek berjudul 'Oley' hanya memakan belanja RM3,000 sahaja dan mengambil masa penggambaran 2 jam, tetapi memberikan kesan cukup besar bagi aktiviti dakwah.

Ini kerana, klip video terbitan sebuah NGO, Solidariti Muslim Prihatin itu sehingga semalam telah ditonton lebih 180,000 orang dalam jangka masa 5 hari setelah disiarkan.

Dengan 'view' yang sedemikian tinggi, sambutan orang ramai terhadap filem tersebut ternyata menyamai filem triler hebat keluaran Hollywood.

Oley merupakan sebuah filem pendek yang terhasil khusus buat menjawab segala tohmahan mengenai hukum Islam yang dipersendakan oleh filem pendek “Bicara Rakyat“ yang dihasilkan dengan penuh kebencian dan kenistaan terhadap hukum hudud oleh pihak tertentu.

Dengan penghasilan ‘Oley’ bererti Solidariti Muslim Prihatin melangkah setapak lagi ke hadapan dalam menyampaikan mesej bermaklumat kepada masyarakat dengan cara baru.

Filem tersebut turut disiarkan menerusi slot video Harakahdaily dengan jumlah penonton sebanyak lebih 21,000 orang sehingga jam 4.30 petang semalam sejak dimuatnaik 15 Disember lalu.

Hingga jam 9.00 malam ini pula, bilangan penontonnya meningkat lebih tinggi sehingga mencatat jumlah keseluruhan melebihi 210,000 orang.

Ekoran perkembangan yang baik itu dan ditambah lagi dengan kejayaannya beraksi dengan baik menerusi filem pertama lakonannya itu, Nasrudin secara jujur mengakui akan berlakon lagi pada masa akan datang untuk klip video seperti itu jika diberi peluang dan berkesempatan.

Seperti pelakon-pelakon utama lain, filem tersebut hanya dilakoni secara percuma oleh beliau kerana pembabitan beliau dan rakan-rakannya itu di dalam dunia perfileman bukankah untuk mengejar glamour, tetapi untuk menyampaikan mesej dakwah dengan turut memanfaatkan perkembangan media baru dengan dunia tanpa sempadan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: