22 Disember 2011

Haji auta berjaya diberkas

26 Muharram 1433H. [MOD] -

RAUB – Seorang lelaki berusia 62 tahun bertindak mengaburi mata orang ramai dengan tawaran pelbagai jenis projek dan perusahaan sehingga mangsa terlibat kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, tindakan licik lelaki yang digelar Haji itu, akhirnya tumpas selepas ditangkap dalam satu urus niaga di ibu kota.

Menurutnya, beberapa mangsa membuat pakatan untuk menawarkan urus niaga bernilai RM120,000 sebelum suspek bersetuju untuk bertemu di sebuah hotel dekat Kuala Lumpur.

“Difahamkan sebelum ini mangsa sukar menghubungi suspek selepas wang mereka dilesapkan, tetapi kerjasama mangsa dan polis berjaya memberkasnya dengan menjadikan urus niaga tersebut sebagai umpan.

“Suspek yang ditahan di Balai Polis Dang Wangi, kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bagi meneruskan siasatan penipuan terhadap mangsa di sini,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, pada April lalu suspek yang berasal dari Nenasi, Pekan itu bersama isterinya datang ke rumah mangsa di Taman Kenanga dengan menawarkan projek pembinaan stesen minyak dalam Mukim Gali.

Katanya, suspek yang mengaku sebagai ejen syarikat minyak meminta mangsa memasukkan wang berkali-kali sehingga membawa kepada jumlah keseluruhannya RM40,000.

“Suspek yang pernah tinggal di Mukim Gali itu berterusan meminta wang daripada mangsa tetapi tidak pernah menunjukkan sebarang perkembangan proses urus niaga.

“Terbaru, suspek meminta lagi wang RM120,000 dan mangsa menyedari suspek berniat tidak baik serta urus niaga yang disebut tidak pernah wujud,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: