17 Januari 2012

Buruh asing ditahan

23 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Masih berdegil, biarpun mengetahui tempoh sah berada di Kelantan sudah tamat, tetapi pekerja pembinaan warga asing ini masih menetap di negeri ini.

Akibatnya semalam, pada hari ketiga Ops 6P atau Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang dijalankan Imigresen Kelantan di tapak pembinaan di sini, seramai 26 lagi lelaki ditahan.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (Penguatkuasa), Norehan Harun berkata, dalam operasi jam 2.30 petang itu, sejumlah 17 warga Bangladesh, Myanmar (2), Indonesia (4) dan Vietnam (3) ditahan yang kesemuanya adalah pemegang Slip 6P.

Menurutnya, tahanan berkenaan mendakwa majikan mereka sudah membuat pendaftaran semula selepas tempoh pemutihan tamat pada 10 Januari lalu.

“Bagaimanapun, pekerja ini terpaksa dibawa ke Pejabat Penguat kuasa Imigresen di Telipot selepas gagal menunjukkan bukti pengesahan itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Beliau yang mengetuainya operasi berkenaan bersama 30 anggota lain akan mengesan majikan kepada warga asing berkenaan untuk mendapatkan pengesahan.

“Semua yang berusia lingkungan 20-an hingga 50-an ini akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen, Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, sepanjang operasi itu dijalankan 69 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dan serbuan akan dilaksanakan pada setiap masa memandangkan tempoh pemutihan tamat.

“Semua warga asing memberikan kerjasama ketika pemeriksaan di lokasi kerja,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: