17 Januari 2012

Pakatan lebih mampu tadbir pusat jika diberi mandat

23 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengan Datuk Seri Najib yang mengatakan negara ini akan bankrap masih tidak bersahut, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

“Nampaknya pemimpin Umno hanya berani di gelanggang sendiri tanpa lawan, tetapi pengecut untuk berdebat secara ilmiah mengenai masa depan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas Konvensyen PR kali ketiga yang sudah selesai pada 14 Januari lalu di Stadium Suka Menanti, Alor Setar, beliau berkata ia merupakan satu lonjakan kepada PR untuk menghadapi PRU akan datang bagi menawan Putrajaya.

Menurutnya, usaha BN untuk melihat PR berpecah gagal, malahan hubungan PR semakin akrab.

Katanya, pemimpin BN semakin gerun melihat pencapaian empat kerajaan PR yang terbukti dan teruji.

Beliau menambah, ia bukan retorik tetapi mampu untuk melaksanakan sehingga mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara.

“Rakyat sudah mula berfikir jika PR mampu mengurus negeri, walaupun dengan kekangan kewangan, maka sudah pasti PR lebih mampu jika diberi mandat untuk memerintah di peringkat pusat,” katanya lagi.

Ini, katanya kerana hasil petroleum, bijih, getah, sawit, mutiara, balak, cukai, air, emas, pasir putih, batu semuanya akan dikendalikan dengan baik dan dikembali kepada rakyat untuk dinikmati.

Tambahnya, lebih menggerunkan apabila komitmen PR dengan janji 10 perkara dalam masa 100 hari.

Tujuannya, kata beliau ialah supaya rakyat tidak perlu menunggu selama lima tahun untuk melihat perubahan yang akan dibawa di negara ini.

“Sebenarnya sebahagian besar 10 perkara sudah dilaksanakan di negeri PR sekarang,” katanya.

Contohnya, kata beliau lagi pemberian RM500 setiap bulan kepada guru-guru telah dilaksanakan oleh Selangor kepada guru-guru Kafa daripada RM1,000 kepada RM1,300.

Menurutnya, walaupun tidak RM500, sekurang-kurang sebagai permulaan.

Selain itu, katanya wifi percuma akan dilaksanakan di Selangor di samping memulangkan konsesi air kepada rakyat.

“Perkara ini sudah berjalan di Selangor. Ini membuktikan kemampuan PR untuk menguruskan negara walaupun mempunyai kekangan kewangan,” katanya.

Jelasnya lagi, PR sudah beriltizam jika diberi mandat untuk memerintah negara, keesokan hari harga minyak akan diturunkan.

“Dalam masa dua minggu tarif elektrik akan diturunkan, dalam masa 100 hari tol akan dihapuskan,” katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: