17 Januari 2012

Ajal depan anak

23 Safar 1433H. [MOD] -

JABI – Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) maut, manakala enam lagi cedera parah apabila dua buah kereta bertembung dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Jerteh-Kuala Terengganu dekat Kampung Gong Penaga berhampiran Klinik Kesihatan Jabi, di sini pagi semalam.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Saarani Mat Yunus, 50, penumpang hadapan kereta Perodua Kancil.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.05 pagi itu, kereta Perodua Kancil yang dinaiki empat orang termasuk Saarani dipandu anak mangsa, Norhadi Saarani, 30, yang turut cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Dua lagi yang cedera yang berada di tempat duduk penumpang belakang ialah seorang lagi anak Saarani, Muhammad Azwan, 10 dan rakan Norhadi, Mohamad Shahrul Azlizan Burhan, 29, berasal dari Kampung Paya Luas, Jalan Maran, Temerloh, Pahang.

Sementara kereta Nissan Sunny yang bertembung dengan kereta mangsa dinaiki tiga orang, dipandu Wafiyuddin Mohd Noor, 23, dan dua lagi rakannya Tarmizul Othman, 24 (penumpang depan) dan Mohd Sabri Ayob, 23.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kereta yang dipandu Norhadi dari arah Kuala Terengganu hilang kawalan lalu terbabas masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan ke­reta Nissan Sunny.

Difahamkan Norhadi cuba mengelak lubang besar di kawasan itu menyebabkan kereta itu hilang kawalan, sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu Wafiyuddin.

“Kereta Nissan Sunny telah merempuh bahagian tengah kiri kereta Kancil iaitu mengenai bahagian penumpang,” katanya.

Kamaruddin berkata, Saarani disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala, manakala mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Daerah Besut.

Menurutnya, pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jertih turut dipanggil ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Difahamkan Saarani bersama anaknya dari Temerloh untuk ke Pasir Puteh, Kelantan manakala penumpang kereta Nissan Sunny terdiri daripada pekerja kimpalan dari Jabi ke Kampung Renek tidak jauh dari tempat kejadian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: