17 Januari 2012

Rumah wartawan kena khianat

23 Safar 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Tingkap kediaman Ketua Wartawan Sinar Harian, Aswany Omar, yang terletak di Beserah pecah dipercayai dibaling batu oleh pihak tidak bertanggungjawab, semalam.

Menurutnya, kejadian itu disedari kira-kira jam 10 pagi semalam ketika beliau bersiap untuk ke Pejabat Biro Sinar Harian Edisi Pahang di Jalan Beserah.

“Ketika bersiap untuk ke tempat kerja, saya terkejut apabila melihat kaca tingkap di bilik yang dijadikan stor bertabur di atas lantai.

“Pada mulanya saya sangka kejadian itu berpunca daripada tindakan kucing peliharaan saya tetapi terkejut apabila menemui seketul batu sebesar penumbuk berhampiran kaca yang pecah itu,” katanya.

Aswany berkata, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku kepada dirinya sejak beliau menyewa di situ tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia sendiri tidak pasti motif kejadian sama ada perbuatan budak nakal atau ada pihak yang sengaja melakukan perbuatan tersebut.

“Saya tidak dapat mengenal pasti pelakunya kerana kejadian berlaku secara tiba-tiba dan tiada kelibat individu mencurigakan kelihatan di kawasan itu selepas kejadian,” katanya.

Aswany berkata, bimbang keselamatannya terancam, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Beserah kira-kira jam 10.57 pagi hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, pihaknya mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kesalahan khianat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang menyiasat motif kejadian berkenaan dan kita akan terus cari pihak bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: