17 Januari 2012

Pemandu teksi jadi penyeludup

23 Safar 1433H. [MOD] -

BUKIT KAYU HITAM - Cubaan pertama kali seorang pemandu teksi tempatan untuk mengaut keuntungan mudah dengan menyeludup mercun dari negara jiran gagal selepas ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Unit Pencegahan Penye­ludupan (UPP) di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sebuah teksi Proton Wira yang dipandu lelaki tempatan itu ditahan di sekatan jalan raya Kilometer 1.3, Lebuhraya Utara Selatan selepas disyaki membawa muatan mercun.

Timbalan Komander UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin berkata, selepas diperiksa, pihaknya mendapati sejumlah mercun papan yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran di sekitar kawasan ini dan Changlun sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Menurutnya, semua 80 papan mercun seludup itu disorok di bahagian bonet kereta ditutup dengan papan lembut dan tempat letak kaki penumpang belakang ditutup dengan alas kaki getah.

“Ruang pada bonet dipenuhi 40 papan mercun dan selebihnya disorok di tempat letak kaki.

“Pemandu berusia 24 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu dalam tangkapan berasingan, sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang dalam perjalanan ke negara jiran turut ditahan kerana dipercayai membawa muatan 380 liter petrol bernilai RM722.

Menurutnya, petrol itu diisi dalam tangki tambahan yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang belakang.

“Pemandu terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, turut ditahan di lokasi sama ialah dua prime mover berisi 1,000 liter diesel bernilai RM1,800.

Menurutnya, dua lelaki warga Thailand masing-masing berusia 48 dan 56 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita percaya mereka membawa diesel itu untuk diseludup ke negara jiran bagi mengaut keuntungan dua kali ganda kerana harga minyak subsidi itu jauh lebih tinggi di negara terbabit.

“Kegiatan penyeludupan minyak subsidi kini lebih cenderung menggunakan kenderaan tempatan berbanding kenderaan pikap negara jiran sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: