17 Januari 2012

'Bantulah bapa saya berjalan'

23 Safar 1433H. [MOD] -

MARANG – “Tolonglah bantu bapa saya, dia ingin untuk berjalan normal semula,” demikian permintaan seorang anak, Mohd Amirul Md Rahim, 19, yang merayu simpati orang ramai demi menamatkan penderitaan ditanggung bapanya sejak lima tahun lalu.

Bapa Mohd Amirul, Md Rahim Jatim, 57, dari Kampung Jerung Seberang, Pengkalan Berangan di sini, sebelum ini menderita penyakit kulit misteri, dan kini terpaksa pula berkerusi roda selepas kaki kirinya cedera ditimpa sebatang pokok lima tahun lalu.

“Kami tidak mampu menemui pakar perubatan di hospital kerajaan mahupun swasta kerana tidak mampu menampung perbelanjaannya. Bapa kini tidak mampu menanggung kesakitan dan berharap ada pihak dan pakar perubatan sudi mengubati kaki kirinya,” katanya.

Sementara itu, Md Rahim ketika ditemui, hanya dapat duduk kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa akibat kecederaan pada kaki kirinya, tambah pula bonjolan kecil dan besar yang tumbuh di seluruh badannya turut membataskan pergerakannya.

Menurutnya, penyakit kulit misteri itu dihidapinya sejak berumur 25 tahun, iaitu sebelum dia berumah tangga dan sejak itu sudah berpuluh doktor serta bomoh ditemui, namun sehingga kini penyakit kulit misterinya itu masih belum menemui sebarang penawar.

“Saya sudah habis berikhtiar tetapi penyakit misteri ini tidak mahu juga sembuh. Namun, saya reda dengan keadaan diri saya, mungkin ia tidak dapat dipulihkan. Tetapi saya berharap ada pihak sudi membantu untuk mengubati kaki saya yang cedera ditimpa pokok.

“Saya tidak mampu bekerja selepas kejadian pokok tumbang menimpa kaki ketika membersihkan kawasan hutan kira-kira lima tahun lalu. Lebih menyedihkan, sejak belakangan ini saya sering bermimpi kaki ini pulih dan saya dapat berjalan semula,” katanya.

Sebelum ini Md Rahim hanyalah seorang pekerja kampung dan mempunyai tiga anak berusia enam hingga 19 tahun. Namun selepas mengalami kecederaan akibat ditimpa pokok getah itu urusan harian keluarga diuruskan isteri dan anak sulungnya.

Md Rahim berkata, dia pasti semua terkejut dan simpati apabila melihat wajah dan keadaan badannya yang dipenuhi dengan bonjolan kecil dan besar, namun bukan itu yang cuba diketengahkan tetapi dia memerlukan bantuan rawatan bagi mengubati kaki kirinya.

“Saya tidak mampu berubat kerana hidup keluarga kami hanya bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM750 sebulan, dan jumlah itu hanya cukup untuk keperluan harian dan belanja sekolah anak sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penyakit misteri Md Rahim, anaknya Mohd Amirul pula berkata, bapanya menghidap penyakit kulit misteri itu sebelum dia dilahirkan lagi dan pelbagai ubat telah dicuba bapanya, namun penyakit itu tetap tidak pulih.

Bagaimanapun, bagi anak sulung pasangan Md Rahim dan Maimunah Mat Ali ini, penyakit kulit misteri yang dihidapi bapanya itu tidak pernah membuatkan dirinya berasa rendah diri, malah dia juga tidak pernah diejek oleh rakan-rakan lain di kampung itu.

“Penyakit misteri yang dideritai bapa bukan satu masalah besar bagi kami tetapi hasrat ayah untuk berjalan semula adalah lebih diutamakan. Kami kesiankan dia yang terpaksa dibantu untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain pada setiap masa.

“Saya sekeluarga amat berharap ada pihak dapat membantu mengubati semula kaki bapa yang cedera dan mungkin dia lebih bersyukur jika ada pihak dapat mengubati penyakit kulitnya sekali,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Amirul menerusi talian 0111-9302548.

Sinar Harian

Tiada ulasan: