17 Januari 2012

Caj kereta automatik lebih tinggi

23 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pelajar yang enggan membayar lebih untuk belajar memandu kereta automatik, boleh memilih belajar memandu kereta manual yang cajnya lebih murah, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, caj belajar memandu kereta automatik lebih tinggi, pengguna masih mempunyai pilihan lain.

“Pelajar tidak perlu rasa terikat kerana jika tidak mahu bayar lebih, boleh pilih kereta manual kerana lesen kereta manual boleh juga pandu kereta automatik, tetapi kalau lesen kereta automatik cuma boleh bawa kereta automatik sahaja,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012 di Pudu Sentral di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura sekolah memandu hendak mengenakan caj 10 hingga 15 peratus untuk belajar memandu kereta automatik.

Cho Ha berkata, lesen pemanduan kereta automatik itu akan diperkenalkan pada pertengahan tahun ini dan ia sudah pun bermula di negara maju.

Sementara itu, Cho Ha menyarankan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, khususnya bas pilihan utama untuk balik kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina ini.

“Pengangkutan awam kita terutamanya bas sangat selamat dan ini dibuktikan semasa Ops Statik Tahun Baru Cina 2011, di mana kemalangan melibatkan bas awam hanya satu sahaja dan sifar pada musim perayaan Aidilfitri tahun itu,” katanya.

Beliau menambah, kenderaan berat kecuali lori-lori yang membawa makanan dilarang menggunakan lebuh raya dan jalan persekutuan pada 21, 22, 28 dan 29 Januari untuk mengurangkan risiko kemalangan kepada kenderaan kecil.

Sinar Harian

Tiada ulasan: