17 Januari 2012

Kastam rampas dadah RM4.87 juta dari 1 Januari

23 Safar 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Sebanyak 19.5 kilogram dadah bernilai RM4.87 juta berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bagi tempoh 1 Januari sehingga semalam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib berkata, enam warga asing terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita turut ditahan sepanjang tempoh tersebut.

“Keadaan seperti ini jelas menimbulkan kerisauan kepada pihak kastam kerana hampir setiap hari berlaku penyeludupan dadah di KLIA, oleh itu kami sangat berharap orang ramai dapat bekerjasama dan membantu kami dalam memberikan maklumat untuk menangani perkara ini,” katanya di sini, semalam.

Zainul berkata, kira-kira jam 8 pagi semalam, dadah jenis syabu seberat 3.2 kilogram bernilai RM800,000 yang diletakkan di dalam empat botol garam laut dirampas daripada lelaki warga Iran dan Kazakhstan, masing-masing berusia 24 tahun.

Katanya, anggota Kastam yang melihat kedua-dua suspek membawa sebuah beg bersaiz sederhana dan apabila diminta untuk diimbas serta diperiksa, mereka menafikan beg itu milik mereka.

“Setelah diimbas ia menampakkan imej yang meragukan dan hasil pemeriksaan anggota kastam kemudian mendapati terdapat empat botol dan satu paket plastik diisi dengan dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Kastam turut berjaya merampas dadah seberat 16.07 kilogram dalam kes berasingan membabitkan penahanan tiga lelaki warga Turki pada 1 Jan dan seorang wanita warga Iran pada 7 Januari lalu", katanya. -Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: