05 Mac 2012

Putin kembali Presiden Rusia, pembangkang protes

12 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MOSCOW - Vladimir Putin mengisytiharkan beliau telah memenangi pemilihan Presiden Rusia, yang dicemari dengan dakwaan wujud penipuan dan penyelewengan besar-besaran dalam proses pengundian, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Putin kembali memegang jawatan tertinggi negara itu selepas menyandang kerusi perdana menteri selama empat tahun.

Putin sebelum menjadi perdana menteri merupakan Presiden Rusia. Perlembagaan Rusia membolehkan seseorang kembali bertanding jawatan presiden selepas 'berehat' selama empat tahun.

Pungutan suara di akhir proses pengundian dan keputusan awal menunjukkan Putin memperoleh 60 peratus undi.

Maklumat awal dikeluarkan suruhanjaya pilihan raya, dengan keputusan lebih separuh pusat pengundian sudah diketahui, menunjukkan Putin memperoleh 64 peratus undi, yang sudah cukup untuk kemenangan pusingan awal.

Pesaing terdekat beliau, Gennady Zyuganov hanya memperoleh 17 peratus undi.

Tiga calon lain hanya menerima undi satu digit.

Pada sidang media selepas proses pengundian ditutup, Zyuganov menyifatkan pemilihan kali ini sebagai tidak adil dan tidak berbaloi.

Putin memberitahu penyokongnya pada satu perhimpunan di sini bahawa mereka telah menang dalam persaingan terbuka yang bersih.

Pembangkang mendakwa wujud penipuan dalam proses pengundian dengan ramai mengatakan ada yang mengundi dua kali.

Justeru, mereka mahu mengadakan protes besar-besaran di Moscow hari ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: