05 Mac 2012

Penduduk Miri Alami Gangguan Bekalan Air

12 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MIRI: Penduduk Miri yang tinggal di kawasan tinggi akan mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan operasi mengelakkan pencemaran.

"Kami ingin memberitahu orang ramai bahawa sumber air mentah Sg. Liku tercemar akibat kebocoran diesel dari loji Premix, 2 km menghala ke hulu sungai," kata Pengurus Laku Miri Lo Su Onn dalam satu kenyataan, Ahad.

"Operasi loji itu telah dihentikan serta merta setelah kami dapati tompokan minyak terapung di bahagian pengepaman intake.

"Tindakan ini bagi mengelakkan pencemaran air di rangkaian pengedaran," kata beliau.

Beliau berkata LAKU berjaya mendapatkan bantuan Sarawak Shell Berhad dan Petronas bagi membersihkan bahagian sungai berkenaan dan berharap dapat memulakan kembali operasi menjelang petang Isnin.

"Kami kesal dengan kesulitan yang berlaku dan akan berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: