05 Mac 2012

Tiga lelaki, seorang wanita nyaris maut

12 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Tiga lelaki dan seorang wanita nyaris maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat di sini malam kelmarin.

Ketiga–tiga kenderaan itu melibatkan lori satu tan, kereta Proton Wira dan pacuan empat roda hampir hancur dalam kemalangan tersebut.

Difahamkan kesemua mangsa selamat dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kesemua identiti mangsa masih belum dikenal pasti, bagaimana pun dikatakan mangsa yang menaiki lori yang sarat dengan muatan sotong segar adalah suami isteri.

Ketua Operasi Balai Bomba Pengkalan Kubor, Rosli Mohammad berkata, dua pemandu iaitu pemandu pacuan empat roda dan pemandu lori tersepit dalam kemalangan tersebut.

“Selepas menerima panggilan kira–kira jam 10.50 malam, anggota bomba terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, seramai 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor dan Tumpat bersama dua jentera, ke lokasi kejadian kemalangan tersebut untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersempit.

“Sebaik saja tiba, pemandu kereta Proton Wira bersama isteri pemandu lori tersebut sudah dikeluarkan orang ramai dan dihantar ke hospital,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa selama setengah jam untuk mengeluarkan kedua–dua mangsa yang tersempit itu.

Katanya, ketika operasi menyelamat itu mendapati pemandu pacuan empat roda itu patah tangan dan cedera di kepala, manakala pemandu lori terbabit cedera pada bahagian muka dan kepala.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa tersepit selesai kira–kira jam 11.45 malam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: