05 Mac 2012

Shabery mesti jelaskan peruntukan RM30 juta

12 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek didesak menjelaskan keperluan mewujudkan Cawangan Pembangunan Strategik dan Urat Saraf kementerian berkenaan yang diberikan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) yang membangkitkan isu itu beberapa hari lalu sehingga kini, masih menanti jawapan daripada menteri berkenaan berhubung dakwaannya itu.

Menurut Mahfuz, Cawangan Pembangunan Strategik dan Urat Saraf diarahkan untuk menganjurkan program berkaitan dengan pembangunan belia di seluruh negara dengan anggaran 2,000 program yang akan disusun.

Sehubungan itu, jelas Mahfuz sebanyak RM30 juta diperuntukan bagi mendekati golongan muda dan antara individu yang akan memberi pengisian di dalam program berkenaan adalah Datuk Dr Hassan Ali.

"Jadi saya minta satu siasatan dan audit mesti dibuat, saya lebih memfokuskan kepada Cawangan Strategik kerana dimaklumkan Cawangan Strategik tidak mendapat kelulusan JPA,"katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz turut mendakwa, peruntukan berkenaan diambil daripada bahagian-bahagian yang lain kemudian dikumpulkan di bawah Cawangan Strategik dan Urat Saraf sebagai unit khas untuk menghadapi pilihan raya sedangkan tiada peruntukan khas yang disalurkan kepada cawangan berkenaan.

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, semasa pilihan raya di Sarawak cawangan ini bermukim di sana selama tiga bulan sehingga menelan belanja hampir RM40 juta.

"Oleh sebab itu saya minta ia diaudit termasuklah cadangan mengarahkan Cawangan Strategik untuk mengadakan program pembangunan belia di semua daerah. Saya tidak pasti Hassan Ali akan ikuti ke semua 2000 program itu.

"Saya lebih fokus kepada KBS. Sepatutnya yang hendak saman saya adalah KBS bukan Hassan Ali. Jadi kalau Hassan Ali hendak saman saya pun, saya tidak ada apa-apa masalah," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: