05 April 2012

Jakarta dilanda banjir

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH orang melalui sebuah kawasan yang dilanda banjir di Jakarta semalam.

JAKARTA - Sebahagian Jakarta dilanda banjir ekoran hujan lebat semalaman sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk.

Banjir itu juga bermula kelmarin berikutan limpahan air dari kawasan Bogor.

Menurut laporan Bernama, kebanyakan akhbar harian utama Jakarta menyiarkan berita dan gambar banjir dalam laporan muka depan semalam.

Limpahan air sungai Pesanggrahan dan Ciliwung telah menyebabkan ribuan rumah dinaiki air di empat wilayah Jakarta, kecuali Jakarta Pusat kelmarin.

Wilayah paling teruk ialah Jakarta Selatan dengan ketinggian air antara 20 sentimeter sehingga dua meter termasuk di kawasan Pondok Labu yang menyebabkan sebilangan penduduk di Jalan Haji Ipin terpaksa dipindahkan namun mereka kembali ke rumah masing-masing apabila air surut.

Sebagai langkah mengatasi kesan banjir, Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo telah meminta pihak berkuasa tempatan supaya menyediakan pusat-pusat pemindahan banjir yang secukupnya.

Selain limpahan air Sungai Pesanggrahan, hujan lebat di Puncak Daerah Bogor, Jawa Barat petang kelmarin turut menyebabkan air di Sungai Ciliwung naik hampir ke paras berjaga-jaga Tahap Dua.

Salah satu kawasan kios perniagaan yang terkena banjir ialah Pasar Tekstil Cipulir di Jakarta Selatanyang dinaiki air sehingga paras pinggang orang dewasa sejak Isnin lalu sehingga mengganggu aktiviti perniagaan.

Selain di Jakarta, di Tangerang, Banten, sejumlah rumah juga hingga kini masih dinaiki air sejak kelmarin dan memaksa pihak berkuasa memindahkan sebilangan penduduk ke pusat pemindahan.

- Agensi

Tiada ulasan: