05 April 2012

Sindiket samun kargo tumpas

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Pihak polis berjaya menumpaskan sindiket samun kargo membabitkan kehilangan sebuah treler sarat dengan muatan 347 tong gas dianggarkan bernilai kira-kira RM46,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lori berkenaan dilaporkan hilang bersama muatan yang diletakkan di pusat simpanan di Taman Aman, Senai.

“Kita menerima aduan mengenai kehilangan lori sarat dengan muatan tong gas yang masih penuh pada 11 Januari lalu.

“Hasil risikan polis, treler berkenaan telah ditemui di tepi jalan di negeri Sembilan dan kita telah merampas sejumlah 341 tong gas yang telah kosong,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya berjaya membuat tiga tangkapan di Seremban, Negeri Sembilan dan satu tangkapan di Segamat di antara 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Tangkapan dibuat ke atas empat lelaki berusia di antara 25 hingga 45 tahun dan salah seorang yang ditangkap di Segamat telah dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan tiga kali sebatan pada 13 Mac.

“Manakala dua lagi suspek dalam proses perbicaraan dan seorang lagi tampil sebagai saksi.

“Hasil semakan mendapati kesemua mereka tiada kesalahan lalu manakala saringan air kencing didapati negatif,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihak polis berjaya menurunkan indeks jenayah di negeri 14.04 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini manakala 40 peratus berjaya diturunkan bagi indeks jenayah jalanan.

“Setakat dari Januari hingga Mac tahun ini kita telah berjaya mengurangkan sebanyak 773 kes jenayah di Johor.

“Manakala 446 kadar jenayah jalanan berjaya dikurangkan sementara jenayah hot spot diturunkan sebanyak 278 kes,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: