05 April 2012

Malaysia,Thai perketat kawalan sempadan

13 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Militan lebih profesional lakukan serangan bom terbaru di selatan Thailand

PHNOM PENH: Malaysia dan Thailand bersetuju meningkatkan kerjasama dan memperketat kawalan keselamatan di sempadan selepas letupan bom berlaku di Yala dan Songkhla dengan siasatan mendapati penyerang menggunakan pendekatan lebih profesional dalam keganasan terbaru.

Menteri Luar Thailand, Surapong Tovichakchaikul, berkata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan Datuk Seri Najib Razak yang bermesyuarat di sidang ASEAN di sini, mempersetujui kerjasama itu khususnya dalam memeriksa identiti individu dan kenderaan yang memasuki kawasan sempadan dua negara.

Jurucakap Kementerian Luar, Thani Thongphakdi berkata Yingluck juga memberitahu pemimpin ASEAN bahawa kerajaannya akan memberi penjagaan sepenuhnya kepada mereka yang cedera dalam serangan Sabtu lalu selain menghadapkan pihak bertanggungjawab ke pengadilan, lapor akhbar Bangkok Post.

Seorang pelancong Malaysia maut dalam serangan itu, Low Tsian Hock dan beberapa lagi cedera kerana bom kereta di Hotel Lee Gardens di Hatyai.

Di Pattani, polis menahan seorang suspek yang dituduh terbabit dalam serangan bom itu di sebuah restoran di depan balai polis Mae Lan.

Suspek dikenali sebagai Samlee Huluduerae dan dia menafikan terbabit dalam keganasan itu.
Seorang lagi lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam serangan di Yala ialah Anuwat Tohjeh yang turut menafikan terbabit dalam kejadian itu.

Pegawai polis berkata, Anuwant dikenal pasti sebagai orang dalam rakaman kamera keselamatan memandu kereta di belakang sebuah kenderaan yang membawa bahan letupan dalam serangan itu.

“Kami lihat cara mereka lakukan serangan kali ini lebih profesional,” kata Surapong mengenai letupan bom yang meragut 15 orang dan mencederakan beratus-ratus lagi termasuk pelancong.

“Agensi keselamatan yang menjaga situasi di selatan perlu lebih berhati-hati dan berusaha lebih baik,” katanya.

Surapong, bagaimanapun, menolak dakwaan bahawa keganasan di selatan semakin meningkat selepas kejadian terbaru itu.

“Kami melihat keadaan di rantau selatan sentiasa begitu,” katanya.

Berikutan kejadian serangan di Hatyai dan Yala, kawalan keselamatan akan diperketatkan di semua kawasan berisiko sepanjang tiga bulan akan datang.

Di Songkhla, askar diminta untuk membantu polis mengawal sekatan jalan raya dan melakukan rondaan di kawasan utama, kata komander kanan polis, Leftenan Jeneral Jakthip Chaijinda yang mengakui bahawa kehadiran tentera mungkin akan menakutkan pelancong asing.

Dalam perkembangan berkaitan, polis juga cuba menjejaki kenderaan yang dilaporkan hilang kerana bimbang ia boleh digunakan dalam serangan akan datang.
Beliau berkata, antara suspek yang dikenal pasti dua mempunyai nama yang sama iaitu Jehmah Wani.

“Mereka adalah dua orang dalam kumpulan usia berbeza disyaki terbabit tetapi saya tidak boleh katakan siapa yang lebih disyaki pada masa ini,” katanya. – AFP/Agensi

Tiada ulasan: